Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

WHO beri amaran risiko 'penularan dahsyat' susuli lonjakan COVID-19 di Timur Tengah

Lonjakan mendadak pada jumlah kes jangkitan koronavirus di beberapa negara Timur tengah boleh membawa kesan yang dahsyat, diburukkan lagi oleh penularan varian Delta dan kekurangan bekalan vaksin, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Rabu (14 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:
WHO beri amaran risiko 'penularan dahsyat' susuli lonjakan COVID-19 di Timur Tengah

Gambar: REUTERS

Diterbitkan : 15 Jul 2021 08:59AM Dikemas Kini : 15 Jul 2021 09:02AM

KAHERAH: Lonjakan mendadak pada jumlah kes jangkitan koronavirus di beberapa negara Timur tengah boleh membawa kesan yang dahsyat, diburukkan lagi oleh penularan varian Delta dan kekurangan bekalan vaksin, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Rabu (14 Jul).

Selepas bilangan kes jangkitan dan kematian di bahagian timur Mediterranean berkurangan sepanjang tempoh lapan minggu yang lalu, agensi tersebut menyatakan kini terdapat peningkatan yang ketara pada jumlah kes di Libya, Iran, Iraq dan Tunisia dengan lonjakan tinggi dijangkakan di Lubnan dan Maghribi.

Negara-negara di rantau itu bakal meraikan Aidiladha pada minggu depan yang biasanya melibatkan perhimpunan berbentuk keagamaan dan sosial di mana jangkitan boleh merebak.

"WHO prihatin terhadap peningkatan kes COVID-19 yang dikhuatiri akan terus meningkat sepanjang minggu-minggu mendatang, membawa kesan yang amat dahsyat," menurut kenyataan pejabat WHO di rantau itu.

Ini kerana ramai tidak mematuhi langkah-langkah kesihatan awam dan jarak sosial serta "sikap memandang ringan yang semakin meningkat dalam kalangan masyarakat" dan kadar vaksinasi yang rendah selain penularan varian baru, tambah WHO.

Agensi itu turut mendedahkan bahawa Tunisia mencatat kadar kematian koronavirus yang paling tinggi di rantau berkenaan dan juga di Afrika. Selain itu, jumlah kes jangkitan harian bertambah hampir seganda di Iran sepanjang tempoh empat minggu sehingga awal Julai.

Secara keseluruhannya, bilangan kes COVID-19 yang dilaporkan di rantau Mediterranean termasuk Pakistan, Afghanistan, Somalia dan Djibouti serta negara-negara Timur Tengah menjangkaui 11.4 juta kes, menurut kenyataan itu.

Lebih 223,000 kematian turut dilaporkan, tambahnya lagi.  

Sumber : Reuters/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan