WHO beri amaran Gaza 'di ambang malapetaka kesihatan awam'

(Gambar: AFP/MOHAMMED ABED)
GENEVA: Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Selasa (31 Okt), satu "malapetaka kesihatan awam" akan berlaku di Gaza.
Ini di tengah-tengah kesesakan, jumlah tinggi penduduk yang kehilangan tempat tinggal dan kerosakan pada prasarana air dan kebersihan.
Jurucakap WHO Christian Lindmeier memberi amaran tentang risiko kematian penduduk Gaza yang bukan secara langsung disebabkan pengeboman Israel.
Pihak berkuasa kesihatan Gaza menyatakan lebih 8,300 rakyat Palestin terbunuh sejak Israel memulakan serangan udara ke atas kawasan dikuasai Hamas.
Ia merupakan tindak balas terhadap serangan pada 7 Oktober di mana Hamas membunuh 1,400 individu di Israel, dan mengambil lebih 200 orang sebagai tebusan.
Tentera Israel memulakan serangan darat di Gaza minggu lalu.
Apabila ditanya sama ada terdapat mereka yang mati disebabkan komplikasi selain daripada pegeboman, Encik Lindmeier berkata: "Sudah tentu ada."
Seorang jurucakap agensi kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, James Elder, memberi amaran tentang risiko kematian dalam kalangan bayi disebabkan dehidrasi, dengan pengeluaran air berada hanya pada 5 peratus berbanding paras biasa.
Kira-kira 940 kanak-kanak dilaporkan hilang di Gaza, tambahnya, dengan sesetengah daripada mereka dipercayai tertimbus di bawah runtuhan bangunan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.