WHO bakal hentikan bekalan diesel kepada lebih 20 hospital Gaza susuli kekurangan dana
Gambar fail menunjukkan kenderaan PBB mengetuai konvoi ambulans yang membawa individu dan pesakit yang cedera dalam perang melintasi sempadan Rafah antara Gaza dengan Mesir di Khan Younis di selatan Carikan Gaza pada 19 Mac 2026. (Gambar: Reuters/Ramadan Abed)
- WHO menghentikan bekalan diesel kepada lebih 20 hospital dan pusat kesihatan di Gaza bermula 19 September akibat kekurangan dana.
- Krisis bahan api ini menyebabkan operasi hospital terjejas, termasuk penutupan bilik bedah, unit rawatan rapi, dan gangguan mesin perubatan penting.
- Penutupan sempadan oleh Israel sejak Oktober 2023 dan kawalan ke atas pintu Rafah sejak Mei 2024 memburukkan lagi kekurangan bahan api di Gaza.
- Munir al-Bursh menggesa WHO, negara penderma dan masyarakat antarabangsa segera memastikan bekalan bahan api mencukupi demi keselamatan pesakit.
“Berikutan kekurangan bahan api dan minyak yang ketara, serta kegagalan untuk membekalkan jumlah minimum yang diperlukan bagi mengendalikan hospital dan pusat kesihatan di Carikan Gaza, WHO mengumumkan penggantungan bekalan diesel kepada lebih 20 hospital dan pusat kesihatan bermula 19 September akibat kekangan dana,” kata Encik Munir dalam kenyataannya.
Beliau berkata kuantiti bahan api yang terhad yang sampai ke wilayah berkenaan hanya mencukupi untuk membolehkan kemudahan kesihatan beroperasi pada tahap minimum.
“Penghentian bekalan ini bukan sekadar bermakna generator terhenti, tetapi juga penutupan bilik bedah dan unit rawatan rapi, gangguan kepada mesin bantuan pernafasan serta stesen oksigen, sekali gus mengancam nyawa bayi dalam inkubator, pesakit dialisis, mangsa yang cedera dan mereka yang menghidapi penyakit kronik,” katanya sambil menambah krisis itu turut melumpuhkan perkhidmatan ambulans serta rantaian penyejuk bagi penyimpanan ubat-ubatan dan vaksin.
Encik Munir menyifatkan pemotongan bahan api dari hospital sebagai “pembunuhan senyap terhadap pesakit di katil mereka” dan menggesa WHO, negara penderma serta masyarakat antarabangsa untuk memikul tanggungjawab mendesak dengan memastikan kelangsungan bekalan bahan api dan minyak dalam jumlah yang mencukupi serta selamat.
Pengumuman itu dikeluarkan sedang krisis kekurangan minyak dan alat ganti generator di hospital Gaza semakin meruncing, yang menyebabkan beberapa generator terhenti beroperasi, menurut kenyataan Kementerian Kesihatan pada Ahad.
Generator merupakan sumber utama tenaga elektrik bagi hospital untuk mengendalikan jabatan penting dan peralatan perubatan selepas bekalan elektrik terputus secara menyeluruh di Gaza untuk tahun ketiga berturut-turut sejak permulaan perang genosid Israel pada Oktober 2023.
Gangguan bekalan bahan api itu berpunca daripada tindakan Israel menutup pintu sempadan Kerem Shalom sejak Oktober 2023 serta pendudukan dan kawalan tentera Israel ke atas pintu sempadan Rafah antara Gaza dengan Mesir sejak Mei 2024.
Sejak itu, kedua-dua pintu sempadan berkenaan hanya dibuka secara terhad untuk laluan beberapa pesakit, mangsa cedera dan para penduduk yang kembali ke Gaza, serta kemasukan bantuan kemanusiaan dan bantuan perubatan yang terhad.
Sejak 8 Oktober 2023, lebih 73,000 rakyat Palestin terkorban dan lebih 174,000 lagi cedera, manakala kira-kira 90 peratus daripada prasarana di wilayah itu sudah musnah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.