WHO akan muktamad perjanjian pandemik global jelang Mei 2025
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Isnin (11 Nov) mengumumkan rundingan bagi perjanjian pandemik global akan diteruskan sehingga 2025, dengan sasaran untuk ia dimuktamadkan pada Mei tahun depan.
Gambar: AP
"Negara-negara anggota bersetuju bahawa kita perlu memuktamadkan perjanjian ini secepat mungkin dan melanjutkan rundingan hingga 2025, dengan sasaran untuk memuktamadkan perjanjian itu mengikut jadual Perhimpunan Kesihatan Sedunia (WHA) akan datang pada Mei 2025," kata Anne-Claire Amprou, pengerusi bersama Badan Perundingan Antara Pemerintah (INB) WHO dalam satu taklimat media.
Cik Amprou menekankan bahawa dengan komitmen politik yang kukuh daripada negara-negara anggota, rundingan “sedang bergerak ke arah yang diharapkan".
Pengerusi bersama, Precious Matsoso berkata bahawa perjanjian global sebelum ini mengambil masa yang lebih lama untuk diselesaikan.
Beliau menambah: “Kita mempunyai tanggungjawab untuk melakukan yang lebih baik dan lebih bersedia bagi pandemik akan datang. Kita semua menyedari keperluan ini.”
“Dunia boleh lebih bersedia menghadapi ancaman hari ini dan pada masa hadapan. Saya yakin kita akan mencapai matlamat itu,” kata Cik Matsoso, mengimbas kembali pandemik COVID-19 yang melanda pada 2020 dan meragut sekitar 7 juta nyawa.
INB, yang ditubuhkan pada 2021 oleh Perhimpunan Kesihatan Sedunia (WHA) dengan keanggotaan 194 negara, diberi mandat untuk merangka dan merundingkan konvensyen atau instrumen antarabangsa di bawah Perlembagaan WHO bagi memperkukuh pencegahan, kesiapsiagaan dan tindak balas terhadap pandemik.
Mesyuarat ke-12 INB sedang berlangsung secara hibrid sehingga Jumaat ini (15 Nov).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.