WAWASAN tidak akan sertai PRN Johor, beri tumpuan tanding PRN Negeri Sembilan
Parti Wawasan Negara (WAWASAN) mengesahkan tidak akan menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor. Sebaliknya, ia akan memberi tumpuan untuk menyertai PRN Negeri Sembilan.
Hamzah Zainudin menjelaskan hala tuju Parti Wawasan Negara (WAWASAN) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan dalam satu sidang media di Kuala Lumpur, pada Khamis. (Gambar: Astro AWANI)
- Parti Wawasan Negara (WAWASAN) mengumumkan tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri Johor, sebaliknya memberi tumpuan kepada PRN Negeri Sembilan.
- Presiden WAWASAN, Hamzah Zainudin, menyatakan keputusan ini dibuat demi menjaga perpaduan parti pembangkang dan mengelakkan perpecahan undi rakyat.
- WAWASAN akan menyokong calon-calon Perikatan Nasional (PN) di Johor, dengan harapan calon terpilih mampu memajukan negeri tersebut.
- Hamzah menegaskan Johor penting sebagai pemacu ekonomi negara dan pemilihan calon perlu dilakukan dengan teliti demi masa depan rakyat Johor.
Presidennya, Hamzah Zainudin berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kepentingan perpaduan dalam kalangan parti-parti pembangkang, selain mahu mengelakkan pertembungan yang boleh memecahkan sokongan rakyat.
Beliau berkata, WAWASAN akan menyokong calon-calon yang diputuskan Perikatan Nasional (PN) untuk bertanding di Johor.
“Kita akan menyokong barisan calon-calon yang kita rasa layak untuk menguruskan negeri Johor pada masa hadapan.
“Saya mahu melihat perpaduan di kalangan semua parti-parti yang ada dalam perkara ini. Jangan berpecah. Kalau tidak mahu berpecah, dengar dulu suara rakyat,” katanya dalam satu sidang media, pada Khamis (25 Jun).
Tambah Encik Hamzah, Johor mempunyai kedudukan strategik sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negara, justeru pemilihan wakil rakyat perlu dibuat dengan teliti.
“Johor ini penting, Johor sebuah negeri yang besar. Sebab itu kita fikir untuk kepentingan rakyat di sini (Johor), biarlah calon yang dipilih itu mereka yang mampu untuk meneruskan perjuangan demi masa depan rakyat Johor.
“Johor Insya-Allah akan menjadi salah satu tonggak kepada kebangkitan ekonomi Malaysia pada masa akan datang,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Encik Hamzah mengesahkan WAWASAN akan menyertai PRN Negeri Sembilan selepas proses penjenamaan parti selesai.
“Yang itu pasti, kita akan menyertai PRN Negeri Sembilan,” katanya ketika menjawab soalan pengamal media.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.