Skip to main content

Dunia

Washington sertai 9 negeri AS lain haramkan senjata separa automatik

Anggaran Waktu Membaca:
Washington sertai 9 negeri AS lain haramkan senjata separa automatik

(Gambar: Alex Wong/Getty Images/AFP)

SAN FRANCISCO: Gabenor Washington di Amerika Syarikat (AS), Jay Inslee, pada Selasa (25 Apr) menandatangani undang-undang untuk mengharamkan berpuluh-puluh jenis senapang separa automatik.

Rang undang-undang itu melarang penjualan, pemindahan, pengedaran, pembuatan dan import 62 model senjata api yang ditakrifkan sebagai "senjata serangan", termasuk AR-15, AK-47 dan senapang berkuasa tinggi serupa yang digunakan untuk melakukan tembakan rambang di seluruh AS.

"Senjata perang, senjata serangan, tidak mempunyai sebab selain untuk pembunuhan ramai orang," kata Encik Inslee pada majlis menandatangani perjanjian itu. 

"Tujuan mereka hanyalah untuk membunuh manusia secepat mungkin dalam bilangan yang banyak,” tambahnya.

Undang-undang itu berkuat kuasa serta-merta selepas ditandatangani oleh Encik Inslee.

Encik Inslee turut menandatangani undang-undang bagi dua lagi langkah kawalan ke atas senjata api utama lain termasuk tempoh menunggu 10 hari untuk pembelian senjata api dan rang undang-undang yang mempertanggungjawabkan pembuat senjata ke atas penjualan secara cuai.

Tiga rang undang-undang senjata api itu diluluskan sebahagian besar menerusi undi parti, dengan Republican menentang manakala kebanyakan Democrat mengundi menyokong, lapor Xinhua memetik laporan The Seattle Times.

Majlis menandatangani perjanjian itu berlangsung di Capitol, yang ditutup kepada orang ramai pada pagi Selasa atas kebimbangan mengenai keselamatan.

Washington menyertai sembilan negeri lain, termasuk California, Illinois, New York, Massachusetts, dan New Jersey, serta District of Columbia, yang sudah mengharamkan AR-15 dan senjata serupa, menurut Pusat Undang-undang Giffords.

Sumber : Agensi berita/Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita