Skip to main content

Dunia

Washington Post berhentikan lebih 30% tenaga kerjanya

Akhbar Amerika Syarikat, The Washington Post mengumumkan pemberhentian kira-kira satu pertiga tenaga kerjanya, sekali gus mengurangkan secara ketara liputan berita sukan, tempatan dan antarabangsa.
Anggaran Waktu Membaca:
Washington Post berhentikan lebih 30% tenaga kerjanya
Trafik dalam talian akhbar itu merosot sejak tiga tahun kebelakangan ini susulan ledakan penggunaan kecerdasan buatan. (Gambar: REUTERS)
WASHINGTON: Akhbar Amerika Syarikat, The Washington Post mengumumkan pemberhentian kira-kira satu pertiga tenaga kerjanya, sekali gus mengurangkan secara ketara liputan berita sukan, tempatan dan antarabangsa.

Langkah yang diumumkan pada Rabu (4 Feb) menjejaskan kakitangan merentasi beberapa jabatan dan menjadi perubahan besar terbaharu bagi akhbar berkenaan yang dimiliki oleh hartawan Jeff Bezos, pengasas Amazon.

Ketua Editor Eksekutif Matt Murray berkata langkah itu bertujuan untuk mewujudkan kestabilan organisasi, namun menerima kecaman daripada kakitangan serta beberapa bekas pemimpin akhbar itu.

“Berita hari ini amat menyakitkan. Ini tindakan sukar, namun jika mahu terus berkembang, kami perlu menstruktur semula kewartawanan dan model perniagaan,” katanya dalam memo kepada para kakitangan.

Menurut Encik Murray, trafik online akhbar itu merosot sejak tiga tahun kebelakangan ini menyusuli ledakan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan pendekatan editorial yang dianggap masih berteraskan model lama.

Dalam kenyataan berasingan, Washington Post Guild menyifatkan pemberhentian pekerja hanya akan melemahkan organisasi serta menjejaskan misi akhbar berkenaan.

Mantan editor The Washington Post, Marty Baron, pula menyifatkan keputusan itu sebagai antara detik paling suram dalam sejarah pertubuhan berita tersebut.

Pemberhentian pekerja terbaharu itu berlaku ketika akhbar berkenaan berdepan masalah kewangan dan penurunan pelanggan, berbeza dengan pesaingnya, The New York Times, yang melaporkan pertambahan kira-kira 450,000 pelanggan digital pada suku terakhir 2025.
Sumber : Agensi berita/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita