Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Warung tawar 42 jenis roti canai beri penggemar pelbagai pilihan

Anggaran Waktu Membaca:
IPOH: Sebuah warung di Taman Temara di Ipoh menawarkan roti canai dengan sedikit kelainan, atau boleh juga dikatakan dengan banyak kelainan, kerana ia menawarkan 42 jenis hidangan roti canai.

Antara yang menjadi permintaan ramai pelanggan di warung itu ialah 'Roti Beef Cheese Blackpepper', 'Roti Chicken Mushroom Cheese' dan 'Roti Banana Ice Cream'. Ini lebih-lebih lagi selepas menu aneka variasi yang ditawarkan itu menjadi tular baru-baru ini.

Pemilik perniagaan tersebut, Zammawi Jaafar, 49 tahun, atau dikenali dengan nama panggilan Ijam, berkata menu lain yang turut menarik perhatian ramai pelanggannya termasuk Roti Pulau Ayam, Roti Pizza Cheese dan Roti Lipat Lapan, lapor Astro Awani.

“Sejak usia remaja saya sudah merantau ke negeri lain dan menceburkan diri dengan kerja menebar roti canai sebelum mula berniaga sendiri di bawah pokok sekitar taman ini."

“Saya sentiasa menambah jenis roti canai yang ada supaya orang ramai mempunyai pelbagai pilihan dan tidak jemu untuk makan di sini. Malah saya juga mementingkan kualiti makanan dengan bantuan isteri dan anak-anak, serta lebih 10 pekerja, untuk menjalankan perniagaan ini,” katanya ketika ditemui Bernama.

Beliau berkata roti canai yang ditawarkan bermula dari RM1.40 (S$0.45) hingga RM15 (S$4.50) satu hidangan, di warung yang beroperasi dari pukul 7.30 pagi sehingga pukul 1.00 tengah hari.

Pada bulan Ramadan ini pula, beliau merancang untuk membuka gerainya dari pukul 3.30 petang sehingga pukul 6.30 petang, seperti dipetik laporan Astro Awani.

Sementara itu, isterinya, Azyyati Ghazali, 45 tahun, berkata beliau turut terlibat menebar roti canai yang berjumlah sehingga ribuan keping dalam sehari. Ini terutama ketika hari cuti dan hujung minggu berikutan kehadiran pelanggan yang tidak putus-putus.

“Sejak awal pagi kami menebar roti tanpa henti selama berjam-jam bagi memenuhi permintaan pelanggan termasuk ratusan tempahan secara bungkus,” katanya.
Sumber : Bernama/AE/ae

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan