Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Wartawan wanita Britain 'digasak' warga online kerana kutuk nasi lemak

Masyarakat Malaysia baru-baru ini menunjukkan perpaduan di Twitter dan tidak teragak-agak membela hidangan nasi lemak kegemaran mereka daripada diperlekeh seorang wartawan di Britain.

Anggaran Waktu Membaca:
Wartawan wanita Britain 'digasak' warga online kerana kutuk nasi lemak

(Gambar: TODAY/New Straits Times)

Diterbitkan : 17 Jan 2020 03:07PM Dikemas Kini : 17 Jan 2020 03:12PM

KUALA LUMPUR: Masyarakat Malaysia baru-baru ini menunjukkan perpaduan di Twitter dan tidak teragak-agak membela hidangan nasi lemak kegemaran mereka daripada diperlekeh seorang wartawan di Britain.

Cik Katie Morley pada Rabu (15 Jan) berkongsi gambar di Twitter menunjukkan makanan yang dihidangkan kepadanya semasa menaiki pesawat British Airways (BA), menyuarakan rasa tidak puas hati dengan hidangan itu.

Daripada gambar itu, hidangan tersebut kelihatan seperti nasi lemak: nasi yang dihidangkan dengan ayam masak merah, sepotong telur rebus dan ikan bilis goreng.

Bagaimanapun, menurut Ms Morley, hidangan itu disenaraikan sebagai "nasi dengan kari ayam".

Dalam ciapannya, Cik Morley menyuarakan rasa tidak puas hati dengan hidangan yang mengecewakannya itu: "Atas nama kepentingan awam, saya kongsikan hidangan amat buruk yang dihidangkan British Airways semasa penerbangan selama 13 jam. Lihat: Kari ayam dengan telur rebus anemik, ditabur dengan ikan bilis busuk dan berlendir. IKAN BILIS. Saya selalunya suka makanan penerbangan, namun yang ini (saya beri markah) 0/10."

Satu lagi pengguna bukan rakyat Malaysia menjawab Cik Morley dengan bertanya: "Siapa yang menggandingkan ayam dengan ikan bilis? Dan telur yang tiada kaitan itu mengelirukan saya ... Ini satu bencana."

Warga Malaysia dengan pantas membidasnya kerana memperlekeh hidangan kesayangan mereka.

Seorang pengguna Twitter menjawab tweet Ms Morley dalam bahasa Melayu, memanggilnya "bodoh". Pengguna itu lalu memarahinya dalam bahasa Melayu, dan menyuruhnya supaya hanya memakan "hidangan tawar" kebiasaannya dan jangan mencuba makanan Asia.

"Anda memilih makan nasi lemak, dan kemudian anda ingin hina makanan kami," tulis pengguna Twitter @IniAlannnLah dalam bahasa Melayu yang jelas tidak puas hati.

Seorang pengguna lain, @deanzail, lebih tenang dan menerangkan apa hidangan itu kepada Cik Morley: "Nasi Lemak adalah warisan bangsa saya, dan sesiapa yang memasaknya tidak memperlakukannya dengan keadilan."

Selepas digasak bertubi-tubi online, Cik Morley menerima kritikan yang ditujukan kepadanya dan menulis: "Ramai rakyat Malaysia telah berhubung dengan saya untuk memberitahu bahawa makanan yang saya kongsi di Twitter semalam adalah hidangan kebangsaan yang popular. Saya belum pernah melihatnya sebelum ini dan tidak berniat untuk menyinggung sebrang perasaan. Seperti mana yang diperkatakan ramai, saya dihidangkan versi yang sangat teruk oleh BA. Saya pasti ia adalah lebih enak dan berharap dapat mencuba yang asli satu hari nanti!

Encik Darren Cronian, warga Inggeris yang menarik perhatian media kerana terbang dari Greece ke Malaysia hanya untuk menjamah nasi lemak, juga menjawab ciapan Cik Morley.

"Katie, rakyat Malaysia sangat bersemangat tentang makanan tempatan," kata Encik Cronian. "Malah, saya sendiri terbang 6,000 batu untuknya." 

Sumber : Today/NST/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan