Wartawan tidak sengaja guna 'filter' wajah ketika bersiaran langsung
Namun akibat satu kesilapan kecil, laporan serius mengenai cuaca sejuk yang melanda Carolina Utara berubah menjadi paparan yang menggelikan hati.
(Gambar: Mirror UK/Facebook)
AMERIKA SYARIKAT: Bayangkan anda sedang ditugaskan menyampaikan laporan penting berhubung fenomena alam secara langsung. Berita seperti itu pasti ingin disampaikan dengan nada dan cara yang serius.
Namun akibat satu kesilapan kecil, laporan serius mengenai cuaca sejuk yang melanda Carolina Utara berubah menjadi paparan yang menggelikan hati.
Laman Mirror melaporkan seorang wartawan Justin Hinton bagi saluran WLOS ABC 13 sepatutnya membuat lintas langsung tentang hujan salji pertama yang melanda di Carolina Utara.
Meskipun liputan disampaikan secara lancar, satu masalah tidak diduga berlaku: beliau secara tidak sengaja tertekan butang fungsi 'filter' Facebook.
Hasilnya? Hinton kelihatan memakai pelbagai topeng dan kostum maya sepanjang penyampaiannya.
Pada satu ketika, beliau kelihatan memakai kaca mata gelap. Satu ketika yang lain pula, beliau kelihatan seperti angkasawan memakai topi keledar serta kelihatan seperti kucing.
Mirror melaporkan apabila tamat siaran dan Hinton melihat semula kamera, beliau kedengaran membaca komen-komen netizen mengenai wajahnya yang “pelik” sambil bertanya kepada rakannya "Nanti dulu, Misty, muka saya ganjil?"
Mujur menurut laman Mirror, laporan Hinton mendapat reaksi positif daripada para penonton. Majikan dan penyelianya pula turut tertawa bersama.
"Saya rasa setiap liputan cuaca perlu gunakan filter ini! Pasti tambah bilangan penonton!" tulis seorang netizen.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.