Skip to main content

Dunia

Wartawan televisyen terkenal Barbara Walters meninggal dunia pada usia 93 tahun

Anggaran Waktu Membaca:
Wartawan televisyen terkenal Barbara Walters meninggal dunia pada usia 93 tahun

(Gambar: AFP/Nicholas Roberts)

WASHINGTON: Wartawan televisyen terkenal Amerika Syarikat dengan kemahiran menemubual disegani, Barbara Walters, meninggal dunia pada usia 93 tahun di rumahnya di New York, lapor ABC News, syarikat penyiaran di mana Walters menjadi penyampai dan penerbit rancangan bual bicara "The View."

Mendiang berkhidmat di hadapan kamera sepanjang 50 tahun sebagai penyampai sehingga berusia 84 tahun.

Mendiang sememangnya ikonik dalam dunia penyiaran kerana merupakan wanita pertama menjadi penyampai berita sekali gus memecah dominasi kaum lelaki dalam industri itu.

Sepanjang kerjayanya, mendiang telah menemu bual ramai tokoh dunia termasuk pemimpin seperti Anwar Sadat dari Mesir, Fidel Castro dari Cuba, mantan PM Britain Margaret Thatcher serta pemimpin Libya Moammar Gadhafi dan Saddam Hussein dari Iraq.

Selain itu, beliau juga menemu bual setiap presiden AS dan isteri sejak Richard Nixon.

Selebriti terkenal yang turut ditemu bualnya termasuk Michael Jackson, Katherine Hepburn dan Monica Lewinsky.

Kebolehan Walters dikagumi peminatnya dan beliau meraih 12 anugerah Emmy, 11 daripadanya semasa bertugas di ABC News.

Mendiang
memulakan kerjayanya dalam bidang kewartawanan menerusi rancangan "The Today Show" yang bersiaran di saluran NBC pada tahun 1960-an sebagai penulis dan penerbit segmen.

Walters aktif berada di depan kamera sejak tahun 1964 dan dipilih menjadi penyampai tetap sedekad kemudian.

Beliau meninggalkan NBC dan berhijrah ke saluran ABC pada tahun 1976, mencatat sejarah menjadi penyampai berita bersama Harry Reasoner.

Kali terakhir mendiang muncul sebagai hos televisyen adalah menerusi rancangan 20/20 dan selaku penerbit rancangan bual bicara "The View."
Sumber : Agensi berita/SU/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita