Skip to main content

Dunia

Wartawan CNN, MS NOW, Politico dilarang masuk Rumah Putih, pas media dirampas

Rumah Putih pada Sabtu (19 Sep) melarang wartawan CNN, MS NOW dan Politico daripada memasuki pekarangannya, sekali gus menguatkuasakan larangan yang diumumkan Presiden Amerika Donald Trump sehari sebelumnya.

Anggaran Waktu Membaca:
Wartawan CNN, MS NOW, Politico dilarang masuk Rumah Putih, pas media dirampas

Ruang CNN di Rumah Putih selepas Presiden Amerika Donald Trump mengumumkan larangan terhadap CNN, MS NOW dan Politico daripada membuat liputan di Rumah Putih, Washington, pada 18 September 2026. (Gambar: REUTERS/Evan Vucci)

Diterbitkan : 20 Sep 2026 08:02AM
  • Rumah Putih pada Sabtu melarang wartawan CNN, MS NOW dan Politico memasuki pekarangannya selepas Presiden Donald Trump mengumumkan tindakan itu sehari sebelumnya.
  • Pas media mereka dirampas ketika tiba di Rumah Putih, susulan tuduhan Encik Trump bahawa pertubuhan media itu menyiarkan berita palsu, rekaan dan pembohongan.
  • CNN, MS NOW dan Politico menyifatkan larangan itu sebagai ancaman terhadap hak Pindaan Pertama, dan menyatakan kesediaan mempertahankan liputan mereka.
  • Tindakan itu mengingatkan sekatan terdahulu terhadap The Associated Press, Jim Acosta dan Brian Karem, yang pernah dicabar atau dibatalkan melalui mahkamah persekutuan.
Dijana oleh AI
WASHINGTON: Rumah Putih pada Sabtu (19 Sep) melarang wartawan CNN, MS NOW dan Politico daripada memasuki pekarangannya, sekali gus menguatkuasakan larangan yang diumumkan Presiden Amerika Donald Trump sehari sebelumnya.

Ketiga-tiga pertubuhan media itu secara berasingan menyatakan pas media pasukan masing-masing dirampas pada pagi Sabtu (19 Sep) ketika para wartawan berkenaan tiba di Rumah Putih.

Larangan tersebut mungkin dicabar oleh ketiga-tiga pertubuhan media itu atas alasan ia bercanggah dengan perlindungan kebebasan bersuara dan kebebasan akhbar di bawah Pindaan Pertama Perlembagaan Amerika.

CNN dalam satu kenyataan menyifatkan larangan itu sebagai "serangan yang menyalahi undang-undang" terhadap hak perlembagaannya untuk menjalankan tugas kewartawanan tanpa campur tangan pemerintah.

MS NOW dan Politico pula menyatakan akan mempertahankan hak masing-masing di bawah Pindaan Pertama.

CNN dan MS NOW menyatakan mereka akan terus membuat liputan mengenai pentadbiran Encik Trump, manakala Politico menegaskan sokongannya terhadap para wartawan yang membuat liputan di Rumah Putih.

Pada Jumaat (18 Sep), Encik Trump menerusi catatan di media sosial menuduh ketiga-tiga pertubuhan media itu melaporkan "berita palsu" serta "rekaan dan pembohongan".

Beliau turut memberi isyarat bahawa pertubuhan media lain mungkin dikenakan larangan serupa.

Ketika ditanya mengenai pertubuhan media lain yang dimaksudkan, Encik Trump menyifatkan The New York Times dan The Washington Post sebagai contoh "berita palsu", namun tidak secara khusus menyatakan bahawa kedua-duanya akan dilarang daripada Rumah Putih.

The New York Times menyifatkan tindakan terbaharu itu sebagai satu ancaman balas yang tidak berperlembagaan dan menyatakan sokongan terhadap pertubuhan media yang terjejas.

Encik Trump sebelum ini pernah cuba menyekat pertubuhan media atau wartawan tertentu daripada membuat liputan.

Tahun lalu, The Associated Press disekat daripada kumpulan wartawan yang membuat liputan mengenai pergerakan Presiden selepas agensi berita itu tidak menggunakan nama "Gulf of America" seperti yang ditetapkan Encik Trump bagi "Gulf of Mexico".

The Associated Press mencabar sekatan tersebut di mahkamah.

Semasa penggal pertama Encik Trump pula, Rumah Putih cuba menarik balik atau menggantung pas media wartawan CNN Jim Acosta dan wartawan Playboy Brian Karem.

Namun, hakim-hakim persekutuan mengarahkan supaya pas media mereka dikembalikan.
Sumber : Reuters/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita