Wartawan China bongkar kes COVID-19 dilanjutkan tempoh hukuman penjara selama 4 tahun
Pekerja dalam sut perlindungan di Hospital Leishenshan semasa pandemik COVID-19. (Gambar fail: REUTERS)
REUTERS: Seorang wartawan di China yang dihukum penjara empat tahun kerana merakam fasa awal penularan COVID-19 dari pusat penularan pandemik itu dilanjutkan tempoh hukumannya selama empat tahun lagi pada Jumaat (19 Sep), menurut Reporters Without Borders.
Zhang Zhan, 42 tahun dihukum penjara atas tuduhan "menimbulkan pertengkaran dan mencetuskan masalah" di China, iaitu tuduhan sama yang menyebabkan beliau dihukum penjara pada Disember 2020 selepas beliau memuat naik perkongsian langsung daripada pusat bandar Wuhan ketika koronavirus mula-mula merebak, menurut kumpulan kebebasan akhbar antarabangsa, RSF, pada Sabtu (20 Sep).
Kementerian Luar China tidak dapat segera dihubungi pada Ahad untuk mendapatkan komen.
Reuters juga tidak dapat mengesahkan sama ada wartawan itu mempunyai perwakilan guaman.
"Beliau perlu diraikan secara global sebagai "wira maklumat", bukan terperangkap dalam keadaan penjara yang kejam," kata pengurus advokasi RSF Asia-Pasifik Aleksandra Bielakowska dalam satu kenyataan.
"Penderitaan dan penganiayaannya harus berakhir. Adalah lebih mendesak sekarang bagi masyarakat diplomatik antarabangsa untuk mendesak Beijing supaya membebaskannya serta-merta."
Zhang sebelum ini diberkas selepas berkongsi kenyataan selama berbulan-bulan, termasuk rakaman video yang memaparkan kesesakan dalam hospital dan keadaan jalan raya yang lengang, yang memaparkan keadaan lebih teruk pada saat awal penularan penyakit itu.
Peguamnya pada ketika, Ren Quanniu berkata Zhang percaya "beliau dihukum kerana menggunakan kebebasan bersuara".
Beliau melancarkan mogok lapar sebulan selepas diberkas, menurut dokumen mahkamah yang dilihat oleh Reuters, mendorong polis untuk mengikat tangannya dan memaksanya makan menggunakan tiub, kata peguamnya pada ketika itu.
Zhang dibebaskan pada Mei 2024 dan ditahan sekali lagi tiga bulan kemudian, sebelum diberkas secara rasmi dan diletakkan dalam Pusat Tahanan Pudong di Shanghai, menurut RSF.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.