Skip to main content

Dunia

Wartawan Australia tidak dibenarkan perbaharui visa Hong Kong

Hong Kong enggan memperbaharui visa seorang koresponden warga Australia dari The Economist, kata ketua editor akhbar itu, sedang pihak berkuasa di bandar China itu memperhebat tindakan tegas terhadap ucapan bebas dan perbezaan pendapat. 

Anggaran Waktu Membaca:
Wartawan Australia tidak dibenarkan perbaharui visa Hong Kong

Kebebasan pihak media di bandar Hong Kong yang suatu ketika dahulu lantang, dikekang oleh China yang membentuk semula bandar itu. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 13 Nov 2021 02:34PM Dikemas Kini : 13 Nov 2021 02:36PM

HONG KONG: Hong Kong enggan memperbaharui visa seorang koresponden warga Australia dari The Economist, kata ketua editor akhbar itu, sedang pihak berkuasa di bandar China itu memperhebat tindakan tegas terhadap ucapan bebas dan perbezaan pendapat.

Sue-lin Wong merupakan sekurang-kurangnya wartawan asing ketiga yang bertugas di Hong Kong, yang diusir keluar daripada wilayah itu baru-baru ini.

Kebebasan pihak media di bandar tersebut, yang suatu ketika dahulu lantang, dikekang oleh China yang membentuk semula Hong Kong. Lantas, menyebabkan tunjuk perasaan demokrasi besar-besaran pada 2019 dan penguatkuasaan undang-undang keselamatan negara yang ketat di Beijing tahun lalu.

Wong, yang tidak berada di Hong Kong buat masa ini, tidak diberi kebenaran untuk kembali bertugas di bandar tersebut, kata Zanny Minton Beddoes, ketua editor akhbar mingguan yang berpangkalan di London, dalam satu kenyataan pada Jumaat (12 Nov).

"Kami menyeru pemerintah Hong Kong supaya mengekalkan akses bagi media asing, yang penting untuk kedudukan wilayah itu sebagai sebuah bandar antarabangsa," tambah beliau.

Beijing sudah bertelagah dengan Britain dan Australia sejak beberapa tahun kebelakangan ini berhubung isu-isu termasuk perdagangan dan sokongan kepada penunjuk perasaan demokrasi Hong Kong.

Kedua-dua Canberra dan London juga sudah melonggarkan syarat pemastautin bagi penduduk Hong Kong yang mahu meninggalkan bandar itu sekali gus mencetuskan kemarahan Beijing.

Di tanah besar China dengan pemerintahan kuku besi, di mana media dikawal dan ditapis dengan ketat, wartawan asing mesti memohon bagi visa tertentu serta berdepan gangguan rutin.

Para wartawan bagaimanapun hanya memerlukan satu visa perniagaan biasa untuk bekerja di Hong Kong.

China mengikrarkan kebebasan utama dan autonomi kepada Hong Kong menjelang penyerahan Britain pada 1997 dan bandar itu sudah mempunyai perlindungan akhbar bebas yang termaktub dalam undang-undang.

Akhbar serta cawangan berita Financial Times, AFP, CNN, Wall Street Journal dan Bloomberg adalah antara beberapa pertubuhan media yang mempunyai ibu pejabat serantau di sana.

New York Times sudahpun memindahkan sesetengah habnya dari Asia ke Korea Selatan selepas beberapa kelengahan visa dan pengusiran korespondennya, Chris Buckley, secara terang-terangan pada tahun lalu dari tanah besar China.  

Sumber : AFP/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita