Skip to main content

Dunia

Wartawan ABC lancar mogok 24 jam berhubung gaji

Beratus-ratus wartawan melancarkan mogok pada Rabu (25 Mac) di bangunan penyiar awam utama Australia, bagi menuntut gaji lebih tinggi dan perlindungan untuk menghalang kecerdasan buatan (AI) daripada mengambil alih pekerjaan mereka.

Anggaran Waktu Membaca:
Wartawan ABC lancar mogok 24 jam berhubung gaji

Wartawan dan kakitangan ABC lancar mogok bagi menuntut gaji lebih tinggi dan perlindungan untuk menghalang AI daripada mengambil alih pekerjaan mereka. (Gambar: AFP/William West)

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 25 Mar 2026 01:57PM
SYDNEY: Beratus-ratus wartawan melancarkan mogok pada Rabu (25 Mac) di bangunan penyiar awam utama Australia, bagi menuntut gaji lebih tinggi dan perlindungan untuk menghalang kecerdasan buatan (AI) daripada mengambil alih pekerjaan mereka.

Australian Broadcasting Corporation terpaksa menggantikan program siaran langsung dengan kandungan BBC selepas lebih 2,000 wartawan dan kakitangan mengadakan mogok selama 24 jam.

Ia adalah mogok besar-besaran pertama terhadap penyiar utama itu dalam kira-kira 10 tahun setelah sebahagian besar anggota kesatuan menolak tawaran gaji lebih rendah daripada kadar inflasi.

Mogok itu berlaku menyusuli rundingan gaji selama beberapa bulan antara para kakitangan dan pihak pengurusan.

Sebilangan besar kakitangan ABC pada minggu ini menolak tawaran terkini iaitu kenaikan gaji 10 peratus sepanjang tempoh tiga tahun dan bayaran bonus A$1,000 (S$892.10) bagi kakitangan tetap.

Kadar inflasi tahunan Australia adalah 3.8 peratus pada Januari.

Sepertiga daripada 4,500 kakitangan ABC adalah anggota kesatuan sekerja.

Sekitar 1,000 orang mengundi bersetuju mengambil tindakan perindustrian setelah rundingan gagal.

"Kakitangan ABC tidak mahu mogok, mereka mahu jalankan tugas mereka," kata Persekutuan Media, Hiburan dan Seni dalam kenyataannya.

"Mereka mahukan gaji adil, pekerjaan terjamin dan langkah perlindungan terhadap penggunaan teknologi seperti AI untuk melindungi integriti editorial dan keyakinan awam," menurut kesatuan sekerja itu.

Pendapatan pengiklanan yang merosot dan peningkatan media sosial mendorong beberapa pusingan potongan pekerjaan dalam sektor media Australia.

Pihak pengurusan ABC menyatakan tawaran gaji itu "mencerminkan tahap maksimum" ia boleh "sediakan secara mampan", namun pihak kesatuan sekerja mahukan lebih jaminan di tempat kerja dan had terhadap penggunaan AI.

Persekutuan Media, Hiburan dan Seni (MEAA), yang mewakili ramai kakitangan yang mogok, berhujah bahawa tawaran gaji itu bawah paras inflasi, dan permohonan mereka untuk mendapatkan huraian bagi kontrak jangka pendek diabaikan.

Michael Slezak, wartawan ABC dan pengerusi bersama jawatankuasa ABC MEAA berkata keputusan untuk melancarkan mogok terletak pada tiga isu "utama" termasuk gaji, kontrak tempoh tetap dan kemajuan.

MEAA pada awalnya memohon kenaikan gaji 5.5 peratus.

"Itu tawaran gaji bawah paras inflasi; itu sekadar potongan gaji dengan penjenamaan lebih baik," kata Encik Slezak.

Satu lagi isu yang disentuh Encik Slezak yang disifatkan sebagai "endemik" kepada ABC adalah kebergantungan terhadap kakitangan tempoh tetap dan pekerja sambilan, yang "tidak tahu sama ada mereka dapat membayar sewa mereka atau gadai janji apabila kontrak mereka berakhir".

Isu terakhir yang diberi tumpuan oleh MEAA ialah kenaikan gaji secara berperingkat, terutamanya bagi kenaikan automatik di mana bayaran gaji ABC memberi isyarat kepada had tertentu berdasarkan prestasi yang memuaskan.

"Pada ketika ini, anda mempunyai pekerja yang selama bertahun-tahun berada di peringkat yang sama dalam sistem gaji kita, walaupun mereka mempunyai banyak pengalaman yang diterapkan dalam kerja mereka," kata Encik Slezak.

Semasa ditanya sama ada beliau merasakan perjanjian dapat dicapai bersama MEAA dan CPSU, pengarah urusan ABC Hugh Marks berkata beliau berpendapat ada jurang antara apa yang dimohon oleh pihak pengurusan dan kesatuan sekerja.

Dalam temu bual di 702 ABC Sydney pada pagi Rabu, Encik Marks berkata "amat dikesali" bahawa rundingan gaji menjadi sedemikian rupa.

"Bagi pihak ABC, saya berasa kecewa," katanya.

Apabila ditanya jika beliau berasa kesal, Encik Marks berkata "Tentu sekali," katanya.

Encik Marks menambah tawaran itu, termasuk bayaran bonus sekali saja sebanyak A$1,000, serupa dengan kenaikan gaji melebihi paras inflasi bagi sesetengah pekerja.

Beliau berkata beliau bersimpati dengan sesetengah kakitangan yang mempunyai kontrak jangka pendek yang tidak menentu atau gaji mereka dihadkan pada kadar yang terikat pada skop pekerjaan mereka, iaitu isu yang beliau rasakan "harus ditangani".

ABC akan mengemukakan perkara itu kepada tribunal tempat kerja Australia, iaitu Suruhanjaya Kerja Adil, dalam usaha menangani pertikaian itu.
Sumber : Agensi berita/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita