Skip to main content

Dunia

Warga SG Malone Lam hadiri sesi perbicaraan status dalam kes rompakan kripto bernilai AS$260 juta

Warga Singapura Malone Lam kembali ke mahkamah persekutuan Amerika Syarikat pada Selasa (18 Nov) bagi satu sesi perbicaraan status dalam kes penipuan bernilai AS$260 juta (S$392.02 juta) yang dihadapinya, sehari selepas salah seorang rakan konspirasi yang didakwa, Kunal Mehta, mengaku bersalah atas pertuduhan pengubahan wang haram dan konspirasi RICO.
Anggaran Waktu Membaca:
Warga SG Malone Lam hadiri sesi perbicaraan status dalam kes rompakan kripto bernilai AS$260 juta
Bangunan Mahkamah Amerika Syarikat, E Barrett Prettyman, di Washington. (Gambar: CNA/Toni Waterman)
SINGAPURA: Warga Singapura Malone Lam kembali ke mahkamah persekutuan Amerika Syarikat pada Selasa (18 Nov) bagi satu sesi perbicaraan status dalam kes penipuan bernilai AS$260 juta (S$392.02 juta) yang dihadapinya, sehari selepas salah seorang rakan konspirasi yang didakwa, Kunal Mehta, mengaku bersalah atas pertuduhan pengubahan wang haram dan konspirasi RICO.

Lam, berpakaian jumpsuit hijau gelap dengan perkataan “Alexandria Inmate” yang tertera di bahagian belakangnya, kelihatan tenang dan berfikir semasa pendengaran itu, dan kadang kala meneliti dokumen-dokumen di hadapannya.

Nampaknya dia masih mempertimbangkan sama ada untuk menerima perjanjian pengakuan bersalah atau membawa kesnya ke perbicaraan.

Peguam Lam, John Patrick Pierce, berkata beliau menerima tawaran baharu untuk perjanjian pengakuan bersalah daripada pihak pemerintah pada Ahad malam, yang katanya akan “terus dibincangkan” dengan Lam dan peguam Jabatan Kehakiman, Kevin L Rosenberg.

Encik Pierce tidak mengulas lanjut mengenai butiran tawaran baharu itu.

Pada Isnin, beliau memfailkan satu usul untuk membenarkan Lam menggunakan komputer bagi menyemak bahan pertemuan - iaitu fasa praperbicaraan di mana pihak-pihak bertentangan bertukar maklumat dan bukti.

“Pihak pemerintah telah mengeluarkan sejumlah besar bahan penemuan elektronik dalam kes ini, sehingga mahkamah meluluskan penggunaan seorang peguam penemuan untuk membantu mengatur dan menyemak bahan tersebut,” kata Encik Pierce dalam pemfailan itu.

“Jumlahnya terlalu besar untuk disemak sepenuhnya bersama peguam sahaja,” tambah beliau.

Pada Selasa, Hakim Colleen Kollar-Kotelly meluluskan dana untuk komputer tersebut, yang tidak akan mempunyai akses internet dan hanya boleh
digunakan di perpustakaan Penjara Daerah Alexandria tempat Lam ditahan.

Semakan pertemuan boleh mempengaruhi keputusan Lam sama ada untuk menerima perjanjian pengakuan bersalah atau meneruskan perbicaraan.

Pendakwa mendakwa Lam merupakan ketua sindiket jenayah kripto yang memperdaya mangsa untuk menyerahkan kata laluan dan maklumat penting lain bagi mengakses akaun mata wang kripto mereka secara online, sebelum mencuri aset-aset digital tersebut dan menukarnya kepada wang tunai yang kemudian dibelanjakan dengan boros untuk mendapatkan kereta eksotik, barangan kemas dan beg mahal, serta penyewaan jet peribadi dan rumah mewah.

Salah seorang rakan konspirasi yang turut didakwa, Ethan Yarally, menyertai pendengaran status Selasa itu melalui video. Dia dituduh menjalankan peranan seorang “pemanggil” bagi operasi tersebut.

Menurut pemerintah, para pemanggil dalam apa yang dipercayai merupakan sindiket jenayah itu menyamar sebagai juruteknik keselamatan bagi penyedia-penyedia emel terkenal seperti Google dan Yahoo untuk memperdaya mangsa menyerahkan akses akaun online mereka.

Peguam Yarally, Robert A Feitel, berkata kes anak guamnya “berkemungkinan diselesaikan tanpa perbicaraan”, sambil menambah bahawa beliau masih berbincang dengan pihak pemerintah mengenai kemungkinan perjanjian pengakuan bersalah.

Encik Feitel berkata beliau dan Encik Rosenberg akan membincangkan perkara itu kemudian pada Selasa.

Lam dan Yarally dijadual kembali ke mahkamah pada 17 Disember untuk sesi kemas kini.

Hakim berkata beliau menjangka gambaran yang lebih jelas mengenai “hala tuju kes tersebut”.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita