Warga SG antara yang maut, cedera dalam kemalangan di Sabah
Seorang lelaki warga Singapura antara mereka yang terkorban dalam kemalangan antara sebuah van pelancongan dengan sebuah lori di Malaysia pada Isnin petang (11 Mac).
(Gambar: Facebook/Balai Bomba dan Penyelamat Semporna)
Lelaki berusia 60 tahun itu dan seorang warga Vietnam berusia 40 tahun maut dalam kemalangan di Semporna yang terletak di negeri Sabah, Malaysia.
Kedua-dua pelancong itu disahkan maut di tempat kejadian oleh seorang pegawai perubatan dari Kementerian Kesihatan, demikian menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Semporna, Mazlan Sarman.
Tiga lagi individu yang cedera parah adalah pemandu van pelancong itu yang berusia 42 tahun dan dua rakyat Singapura berusia 67 dan 71 tahun.
"Dua lagi rakyat Singapura iaitu seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun dan seorang lelaki berusia 58 tahun mengalami cedera ringan. Kesemua mangsa yang cedera dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut," kata Encik Mazlan dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, kemalangan itu berlaku selepas van pelancongan tersebut bertembung dengan sebuah lori lalu ia terbabas hingga ke tepi jalan raya.
Pemandu lori berusia 25 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
Encik Mazlan berkata balai bombanya dimaklumkan mengenai kejadian itu pada pukul 4.30 petang dan lima pegawai dan anggota bomba, menggunakan dua mesin dikerahkan ke tempat kejadian yang terletak 20 kilometer dari balai bombanya.
Encik Mazlan berkata operasi menyelamat berakhir pada pukul 5.32 petang.
Mediacorp sudah pun menghubungi Kementerian Ehwal Luar Singapura bagi mendapatkan maklumat lanjut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.