Warga Malaysia berdepan kenaikan harga pada 2024
KUALA LUMPUR: Sebilangan penduduk di Malaysia melangkah ke tahun 2024 ketika mereka bergelut dengan harga barangan yang semakin mahal.
Ini antaranya, disebabkan subsidi berkurangan bagi pelbagai barangan asas, serta nilai mata wang ringgit yang semakin lemah.
Kesemua ini bermakna, mereka perlu membayar lebih ketika berbelanja.
Harga telur, beras, ayam, malah bawang pun, kini semakin mahal di Malaysia.
Dari Johor ke Selangor, harga makanan lebih tinggi menjejas sebilangan rakyat Malaysia.
Langkah kerajaan memansuhkan subsidi menyeluruh bagi beberapa produk makanan di tengah-tengah nilai ringgit yang lemah bermakna, para pengguna perlu membayar lebih bila membeli barangan runcit.
"Semua barang, beras pun dah naik harga, telur naik harga jadi maksudnya itu keperluan asas utama, jadi maksudnya kadang-kadang naik, kadang-kadang turun jadi bagi golongan kita, kumpulan pesara dan juga bawahan ini, rasanya sukarlah," kata Zulkifli Abu Bakar, seorang penerima pencen.
Bulan lalu, kerajaan menarik balik kawalan harga bagi ayam, sebagai usahanya mengurangkan perbelanjaan dalam bentuk subsidi berjumlah RM81 bilion (S$23 bilion) yang perlu ditanggung tahun lalu.
Satu kilogram ayam sebelum ini berharga RM8 (S$2.30).
Namun, beberapa minggu selepas subsidi ditarik balik, ia naik kepada hampir RM9.50 (S$2.70).
Mata wang yang lemah juga tidak membantu ekonomi yang bergantung kepada barangan import tersebut.
Oktober lalu, ringgit jatuh ke paras terendah berbanding dolar Singapura.
Dengan harga bahan mentah kini lebih mahal, para peniaga makanan mengatakan, mereka tiada pilihan kecuali mengalihkan kenaikan ini kepada para pelanggan.
"Semenjak harga beras naik, kita terpaksa naikkan sedikit. Sebelum ini, nasi putih kita boleh dapat RM1 (S$0.30) atau RM1.50 (S$0.40), sekarang kita terpaksa naikkan, satu bungkus sahaja, RM2 (S$0.60)," kata Nur Atikah Abu Bakar, seorang peniaga di Selangor.
"Ada sesetengah pelanggan yang merungut sebab tidak ada kenaikan gaji, kan? Tetapi, hendak atau tidak, setiap hari kena makan. Kejatuhan mata wang ringgit, kita pun jadi risau sebenarnya," tambahnya.
Kerajaan Malaysia merancang untuk menggantikan dasar subsidi menyeluruh dengan kaedah subsidi yang lebih disasarkan.
"Sebelum ini, yang diamalkan adalah subsidi menyeluruh dan akibatnya, terdapat banyak kebocoran. Kami sering dengar rungutan bagaimana subsidi dinikmati mereka yang tidak memerlukannya atau bukan berada dalam kategori yang layak menerima," kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri & Kos Sara Hidup Fuziah Salleh.
"Jadi, dengan subsidi yang disasarkan, kami akan kaji kategori golongan yang bakal menjadi penerima, kami juga akan lihat kepada data yang dikumpulkan. Kemudian kami akan lihat kepada kaedah untuk melaksanakan subsidi yang disasarkan.
"Kami yakin apabila ia dilaksanakan sepenuhnya, golongan yang benar-benar memerlukannya akan mendapat bantuan dalam bentuk tunai," tambahnya.
Namun buat sementara, rakyat Malaysia perlu menyesuaikan diri dengan apa yang termampu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.