Warga M'sia buang masa di internet pada kadar 'ekstrem', dedah Wan Azizah
Timbalan Perdana Menteri Malaysia Dr Wan Azizah Wan Ismail menzahirkan kebimbangan dengan sikap masyarakat yang kini dilihat begitu terikat dengan gajet dan peranti digital untuk memperoleh maklumat serta berkomunikasi, tanpa mengendahkan dunia fizikal di sekeliling mereka.

Gambar fail pengunjung kafe Internet. (Gambar: AFP / JAY DIRECTO)
KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Malaysia Dr Wan Azizah Wan Ismail menzahirkan kebimbangan dengan sikap masyarakat yang kini dilihat begitu terikat dengan gajet dan peranti digital untuk memperoleh maklumat serta berkomunikasi, tanpa mengendahkan dunia fizikal di sekeliling mereka.
Beliau berkata bagaikan sudah menjadi satu lumrah apabila melihat sekelompok remaja atau sekumpulan dewasa terdiri daripada rakan taulan atau keluarga yang duduk bersama namun tidak berkomunikasi antara satu sama lain.
“Situasi sebegini jelas menceritakan bahawa mereka lebih selesa untuk berkongsi dan bertukar maklumat serta meluahkan perasaan di alam siber berbanding di dunia realiti,” kata Dr Wan Azizah pada Sabtu (7 Sep) semasa berucap di Hari Produktiviti Bersama Komuniti dan pelancaran Buku Panduan AWASpada (Awas Media Sosial dan Permainan Dalam Talian) di Kuala Lumpur.
“Lebih membimbangkan lagi apabila kanak-kanak seawal usia dua hingga tiga tahun telah mula bermain gajet atau peranti digital seperti tablet dan telefon pintar, seolah-olah peralatan ini telah menjadi peneman atau pengasuh selain ibu bapa dan penjaga.
“Ibu bapa harus sedar bahawa gajet bukanlah ‘pengasuh’ kedua untuk anak-anak mereka. Berkomunikasi bersemuka adalah lebih baik berbanding anak-anak dibiarkan bersendirian merenung imej ataupun animasi di skrin tablet,” kata Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Beliau berkata Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di bawah kementerian itu sudah menganjurkan pelbagai program bagi menggalakkan ibu bapa dan keluarga bijak menggunakan gajet dalam berkomunikasi dan meningkatkan hubungan kekeluargaan.
Timbalan Perdana Menteri Malaysia itu seterusnya berkata masalah ‘digital drug’ (dadah digital) berlaku apabila seseorang individu menghabiskan masa lebih daripada empat jam menggunakan internet untuk sesuatu perkara yang tidak ada kaitan dengan pekerjaan atau pembelajaran.
Menurutnya, satu kajian menunjukkan bahawa penggunaan internet yang ekstrem iaitu melebihi enam jam sehari memberi kepuasan dan kesejahteraan hidup yang rendah berbanding penggunaan internet yang sederhana selama satu hingga dua jam sehari.
Merujuk kepada Kajian Pengguna Internet 2018 yang dikeluarkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia pula, beliau berkata ia mendapati purata tempoh melayari internet di Malaysia adalah 6.6 jam sehari, dengan 93.1 peratus pengguna mengakses internet melalui telefon pintar.
Dr Wan Azizah berkata penggunaan internet secara melampau boleh mengakibatkan penggunanya menjadi ketagih sehingga mengancam kesihatan fizikal dan mental.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.