Warga Korea Selatan gesa pindaan perlembagaan susuli pengisytiharan undang-undang tentera
Krisis politik yang melanda Korea Selatan mencetuskan gesaan dwiparti untuk meminda perlembagaan bagi menyusun semula kuasa presiden, satu isu yang hangat diperdebatkan menjelang pilihan raya tergempar pada 3 Jun.
Calon presiden Korea Selatan, Kim Moon-soo dari Parti Kuasa Rakyat, Kwon Young-guk dari Parti Buruh Demokratik, Lee Jun-seok dari Parti Reformasi Baharu dan Lee Jae-myung dari Parti Demokratik bergambar di Seoul, Korea Selatan pada 23 Mei 2025. (Gambar: REUTERS/Kim Hong-Ji)
Pilihan raya itu diadakan berikutan penggulingan mantan Presiden Yoon Suk Yeol yang dilucutkan jawatan berikutan pengisytiharan undang-undang tentera secara mengejut pada Disember lalu. Calon daripada parti-parti utama kini berikrar untuk melaksanakan reformasi perlembagaan.
“Peluang untuk berjaya dalam pindaan perlembagaan kini lebih tinggi berbanding sebelumnya,” kata Profesor Chae Jin-won dari Institut Tadbir Urus Awam, Universiti Kyunghee.
Perlembagaan Korea Selatan kali terakhir dipinda pada 1987 bagi membolehkan pilihan raya presiden secara langsung dan menetapkan tempoh satu penggal selama lima tahun. Perubahan telah lama dibincangkan namun belum pernah dilaksanakan.
Calon utama Lee Jae-myung daripada Parti Demokratik yang berhaluan liberal mencadangkan penggal empat tahun dan maksimum dua penggal berturut-turut bagi presiden bermula tahun 2030, sistem pusingan kedua untuk pemilihan presiden dan pencalonan perdana menteri oleh parlimen.
“Kebertanggungjawaban presiden perlu diperkuat, dan kuasa harus dipecahkan,” katanya pada 18 Mei.
Encik Kim Moon-soo, calon presiden daripada Parti Kuasa Rakyat (PPP) yang konservatif, turut mengemukakan cadangan reformasi, termasuk sistem presiden empat tahun dengan dua penggal bagi pemimpin masa hadapan.
Beliau berjanji untuk memendekkan penggalnya kepada tiga tahun sekiranya dipilih, supaya pilihan raya presiden dan pilihan raya umum boleh diadakan pada tahun yang sama bermula 2028. Beliau juga berikrar untuk menghapuskan kekebalan presiden.
Encik Yoon merupakan ahli PPP sebelum meletak jawatan daripada parti itu pada 17 Mei.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, calon presiden daripada pelbagai spektrum politik telah menyatakan sokongan terhadap pindaan perlembagaan, termasuk cadangan untuk mengadakan presiden bagi dua penggal empat tahun, namun langkah konkrit selepas pemilihan pemimpin baharu jarang diambil.
Tinjauan pendapat Gallup Korea bulan lalu mendapati 67 peratus responden menyokong pindaan perlembagaan untuk memperbaiki sistem presiden, manakala 21 peratus mengatakan bahawa ia tidak diperlukan.
Pada April, Encik Lee menolak cadangan Speaker Parlimen Woo Won-shik untuk mengadakan referendum reformasi perlembagaan pada hari pilihan raya presiden 3 Jun.
Ketika itu, Encik Lee berkata menamatkan kemelut politik adalah keutamaan utama.
Presiden baharu, katanya kepada media pada Ahad (25 Mei), harus memulakan proses mendapatkan konsensus awam berdasarkan manifesto pilihan raya berhubung pindaan perlembagaan, dengan sokongan dua parti.
Encii Kim dan partinya mengkritik Encik Lee kerana tidak berikrar untuk memendekkan penggal presiden akan datang, namun Ecik Lee berkata kestabilan pentadbiran dan pemulihan ekonomi lebih penting bagi pemimpin baharu berbanding menghabiskan sebahagian besar penggal semata-mata untuk pindaan perlembagaan.
Profesor Chae berkata meskipun Encik Lee dan Encik Kim berkongsi matlamat yang sama, motivasi mereka berbeza.
“Saya rasa calon Kim mencadangkan idea pemerintah peralihan untuk meminda perlembagaan sebagai cara untuk memohon maaf atas kejadian undang-undang tentera,” katanya.
“Calon Lee pada awalnya enggan terburu-buru untuk menyokong cadangan itu agar tidak menarik perhatian berlebihan kepadanya, tetapi kini beliau menyuarakannya untuk menarik sokongan pengundi berpendirian sederhana.”
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.