Warga India berkorban rai Deepavali demi jaga jiran Melayu uzur, terperangkap banjir
Bagai cahaya yang menyinari orang lain, semangat sebenar Deepavali ditunjukkan seorang suri rumah, Cik P.Devika, 57 tahun.

Cik Devika dan suaminya membatalkan rancangan untuk meraikan Deepavali di Kuala Lumpur kerana bimbang tentang keadaan Cik Supiah Musa, 76 tahun, yang tinggal berseorangan. (Gambar: BERNAMA)
ALOR SETAR: Bagai cahaya yang menyinari orang lain, semangat sebenar Deepavali ditunjukkan seorang suri rumah, Cik P.Devika, 57 tahun.
Beliau sanggup melepaskan peluang meraikan perayaan itu bersama anaknya, demi membantu seorang warga emas yang uzur dan terperangkap akibat banjir.
Cik Devika berkata perancangan awalnya dan suami adalah untuk ke Kuala Lumpur bagi menyambut Pesta Cahaya bersama anak mereka, tetapi kerana bimbang tentang keadaan Cik Supiah Musa, 76 tahun, yang tinggal berseorangan di Taman Tanjung Bendahara, mereka membatalkan hasrat tersebut.
“Kawasan rumahnya sudah dinaiki air sejak empat hari lepas, sebelum ini keadaan banjir cetek sahaja tapi hari ini air semakin naik, jadi sejak pagi tadi saya menguruskan untuk membawa Makcik Supiah ke rumah saya.
“Saya telefon APM (Angkatan Pertahanan Awam) untuk bantu pindahkan dia ke rumah saya selepas dapat kebenaran daripada anak angkatnya sebab saya bimbang dengan keadaan dia yang uzur dan tidak boleh bergerak, air pula semakin naik,” katanya.
Cik Devika yang tinggal di Taman Sultan Abdul Halim, iaitu kira-kira 1 kilometer dari rumah Cik Supiah, berkata beliau mengambil upah menjaga dan menguruskan warga emas itu sejak empat tahun lalu termasuk menyediakan makan tiga kali sehari.
Menurut Cik Devika, Cik Supiah yang menghidap kencing manis dan darah tinggi selain lumpuh separuh badan, tinggal bersendirian sejak suaminya meninggal dunia beberapa tahun lalu.
“Saya sangat kasihankan dia, jadi saya tak sambut Deepavali hari ini sebab saya tidak dapat menahan sedih melihat dia (keseorangan), jadi saya bawa dia balik rumah saya, nanti kalau air sudah surut saya hantar dia balik semula ke rumahnya,” katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.