Skip to main content

Dunia

Warga Filipina undi dalam pilihan raya sengit di tengah-tengah pertembungan Marcos-Duterte

Pengundian sedang berlangsung di Filipina pada Isnin (12 Mei) bagi pilihan raya separuh penggal yang kebiasaannya tidak menonjol.

Anggaran Waktu Membaca:
Warga Filipina undi dalam pilihan raya sengit di tengah-tengah pertembungan Marcos-Duterte

Para pengundi mencari nama mereka dalam senarai pendaftaran bagi pilihan raya separuh penggal di sebuah pusat mengundi di Manila pada 12 Mei 2025. (Gambar: AFP/Ted Aljibe)

MANILA: Pengundian sedang berlangsung di Filipina pada Isnin (12 Mei) bagi pilihan raya separuh penggal yang kebiasaannya tidak menonjol. Namun, kali ini ia menyaksikan pertarungan sengit yang penuh emosi antara Presiden Ferdinand Marcos Jr dan mantan sekutunya, Naib Presiden Sara Duterte.

Cik Duterte dan Encik Marcos tidak bertanding bagi lebih 18,000 jawatan yang dipertandingkan, namun kedua-dua seteru tersebut giat berkempen bagi barisan calon masing-masing, dengan persaingan antara mereka mendominasi pilihan raya yang berpotensi mempengaruhi hala tuju kuasa politik di negara dengan seramai 110 juta penduduk itu.

Bagi Encik Marcos, yang menjadi taruhan adalah agenda dasar beliau, legasi pemerintahannya dan pengaruh terhadap pemilihan penggantinya pada 2028. Bagi Cik Duterte pula, kelangsungan politiknya mungkin bergantung pada keputusan undian tersebut, lebih-lebih lagi dengan perbicaraan penggulingan yang bakal dihadapi yang berkemungkinan boleh mematahkan sebarang harapan beliau untuk menjadi presiden seperti bapanya, Rodrigo Duterte.

Walaupun jawatan datuk bandar, gabenor dan ahli dewan rendah menjadi rebutan, perebutan utama antara Encik Marcos dan Cik Duterte tertumpu kepada sekitar lebih 12 kerusi dalam Senat yang mempunyai seramai 24 anggota, sebuah dewan yang memiliki pengaruh besar dalam hal ehwal perundangan dan politik, serta berupaya untuk membentuk pandangan umum dan menggagalkan cita-cita presiden.

Encik Marcos dan Cik Duterte masing-masing mengundi pada awal pagi Isnin di kampung halaman mereka. Cik Duterte memberitahu wartawan bahawa beliau baru-baru ini bercakap dengan bapanya yang kini ditahan di The Hague dan berdepan dengan perbicaraan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) berhubung “perang dadah” yang dilaksanakannya.

Kata Cik Duterte, beliau memaklumkan bapanya bahawa lebih daripada dua daripada 10 calon Senat yang disokongnya berkemungkinan akan menang. Antara calon-calon tersebut termasuk mantan ketua polis yang mengetuai operasi perang dadah, yang mengorbankan ribuan nyawa.

“Pilihan raya ini lebih daripada sekadar referendum tidak rasmi terhadap pentadbiran Marcos,” kata Aries Arugay, profesor sains politik dari Universiti Filipina.

“Persaingan bagi kerusi Senat adalah pertarungan proksi utama … Marcos perlu mengekalkan majoriti, atau majoriti dua pertiga, untuk melaksanakan agenda dasar dan ekonominya.”

Media tempatan melaporkan bahawa proses pengundian yang dijadualkan berlangsung dari pukul 5.00 pagi hingga 7.00 malam, dan berlangsung seperti jangkaan, meskipun terdapat kelewatan akibat gangguan pada mesin pengiraan undi.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita