Warga emas mohon maaf curi papan tanda berhenti, 75 tahun lalu
Tidak ingin terus dibelenggu rasa bersalah, seorang lelaki berusia 90 tahun memohon maaf atas kesilapan yang pernah beliau lakukan ketika masih remaja lagi.
(Gambar hiasan: AFP)
TEXAS: Tidak ingin terus dibelenggu rasa bersalah, seorang lelaki berusia 90 tahun memohon maaf atas kesilapan yang pernah beliau lakukan ketika masih remaja lagi.
Pihak berkuasa bandar Midvale di Utah menerima satu surat permohonan maaf dan sekeping wang kertas a AS$50 (S$70) daripada seseorang yang tidak mendedahkan namanya.
Menurut pengirim, beliau pernah mencuri papan tanda berhenti semasa zaman remajanya. Dalam suratnya, beliau menulis bahawa kejadian berlaku "bertahun-tahun dahulu dan ketika beliau masih "belum matang".
Pihak berkuasa kemudian memuat naik gambar surat kirimannya ke laman Twitter, lapor Fox News.
"Umur saya kini hampir 90 tahun, saya sedih tentang perkara-perkara yang saya lakukan ketika masih muda. Saya ingin diampuni Tuhan. Saya benar-benar minta maaf dan menyesali perbuatan saya," kata pengirim seperti ditukil Fox News.
Surat itu dikirimkan kepada Jabatan Kerja Raya Midvale. Di akhir surat berkenaan, beliau menamakan dirinya sebagai "rakyat yang sangat menyesal".
Menurut Fox News lagi, warga emas itu menyesali semua perbuatan salah yang dilakukan sepanjang hayatnya. Datuk Bandar Midvale, Robert Hale, menjangkakan pencurian itu berlaku hampir 75 tahun dahulu.
"Beliau tidak hanya membayar AS$50 (S$70) atas kesalahannya, tetapi juga rasa bersalah yang membebannya selama 75 tahun," kata Encik Hale.
Para pegawai ingin mengucapkan terima kasih kepada si pengirim tetapi mereka tidak mempunyai alamatnya. Yang jelas, mereka berharap lelaki itu boleh memaafkan dirinya dan meneruskan kehidupan dengan tenang.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.