Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Warga emas Mohammad Rafiq tewaskan penyerang masjid Norway sebelum ada terkorban

Seorang warga emas berusia 65 tahun dijulang sebagai wira setelah beliau bergelut dengan seorang lelaki bersenjata yang menyerang sebuah masjid di Norway.

Anggaran Waktu Membaca:
Warga emas Mohammad Rafiq tewaskan penyerang masjid Norway sebelum ada terkorban

Encik Mohammad Rafiq (kanan) berjaya menahan penyerang masjid di Norway pada Aidiladha (Gambar: Petikan video Reuters)

Diterbitkan : 12 Aug 2019 01:18PM Dikemas Kini : 12 Aug 2019 01:41PM

SANDVIKA: Seorang warga emas berusia 65 tahun dijulang sebagai wira setelah beliau bergelut dengan seorang lelaki bersenjata yang menyerang sebuah masjid di Norway.

Para saksi memberitahu The Independent bahawa Encik Mohammad Rafiq dapat menahan suspek serangan pengganas itu dengan bantuan seorang jemaah lain sehingga pihak polis tiba di tempat kejadian.

Beliau bagaimanapun mengalami kecederaan akibat pergelutan itu.

Encik Rafiq ialah di antara tiga orang yang berada di Pusat Islam Al-Noor di Baerum pada Sabtu (10 Ogos) apabila seorang lelaki menyerbu masuk membawa "dua senjata seakan senapang patah dan sepucuk pistol".

Penyerang tersebut, yang dilaporkan memakai pakaian seragam dan perisai, memecahkan pintu kaca untuk sampai ke pusat Islam itu di mana persiapan sedang dijalankan bagi menyambut Aidiladha.

Encik Rafiq, 65 tahun, seorang pegawai bersara Tentera Udara Pakistan ialah orang pertama daripada tiga orang yang menghampiri penyerang itu.

"Saya tiba-tiba terdengar bunyi tembakan dari luar," kata Encik Rafiq, kepada Reuters melalui seorang penterjemah.

"Dia mula menembak ke arah dua jemaah lain itu," kata Encik Rafiq, yang menambah beliau mencengkam penyerang itu dan menahannya sambil bergelut untuk merampas senjata-senjata daripada penyerang berrkenaan.

Dengan mata yang merah dan tangan yang bengkak, Encik Rafiq, yang sudah dua tahun tinggal di Norway, berkata beliau masih sedang pulih daripada serangan itu.

"Dia mencucuk jari ke dalam mata saya, sampai ke sini; ke dalam mata saya, tambah Encik Rafiq.

Menurut Reuters, penyerang yang namanya belum didedahkan, juga disyaki membunuh seorang ahli keluarganya sendiri, seorang wanita muda yang ditemui mati di rumahnya, menurut kenyataan polis.

Suspek tersebut, seorang lelaki muda berkulit putih yang membawa beberapa senjata, telah menyuarakan pandangan berhaluan kanan ekstrem dan menentang para pendatang, kata penolong ketua polis Rune Skjold dalam satu sidang media.

"Kami sedang menyiasat insiden ini sebagai percubaan melakukan serangan pengganas," katanya.

SIKAP BENCI CABARAN BERTERUSAN, KATA PM NORWAY

Merujuk kepada para jemaah yang menahan suspek tersebut, Encik Skjold menambah: "Mereka menunjukkan keberanian yang hebat."

Perdana Menteri Norway Erna Solberg berkata pihak polis sedang meningkatkan langkah berjaga-jaga pada Ahad sedang ribuan penduduk Islam berhimpun di masjid-masjid sempena Aidiladha.

Sedang pemerintah terus cuba menangani ucapan bersifat kebencian, Cik Solberg berkata usaha perlu dipertingkat.

"Kami sedang cuba mengatasinya, namun ia merupakan satu cabaran. Pada pandangan saya, ia boleh dikatakan satu cabaran yang dihadapi seluruh dunia," kata Cik Solberg.

Pada 2011, seorang anggota kelompok neo-Nazi dan anti-Muslim, Anders Behring Breivik membunuh 77 orang secara beramai-ramai dalam keganasan paling dahsyat semasa waktu aman di Norway. Kebanyakan mangsa ialah remaja di sebuah kem belia. 

Sumber : Agensi berita/Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan