Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Warga emas ini tanam sayur sendiri bantu harungi kenaikan harga di M'sia

Meski lanjut usia, wanita Malaysia ini masih gemar bercucuk tanam - suatu hobi yang dipanggil 'penyelamat' ketika harga bekalan makanan mentah sedang tidak menentu.

Anggaran Waktu Membaca:
Warga emas ini tanam sayur sendiri bantu harungi kenaikan harga di M'sia

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 07 Dec 2021 10:39PM Dikemas Kini : 07 Dec 2021 10:51PM

GEORGE TOWN: Kenaikan harga sayur kebelakangan ini menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat Malaysia, namun tidak bagi wanita warga emas, Soon Choon Leng, 73 tahun.

Balu dan ibu kepada empat orang anak itu berkata mengusahakan kebun sayur mini di halaman kediamannya di Jalan Chor Sin Kheng, Air Itam, di George Town, bukan sahaja terapi, tetapi juga tidak perlu berasa risau mengenai isu kenaikan harga sayuran di pasaran.

Beliau turut menyifatkan hobinya yang gemar menanam pelbagai sayuran itu sebagai ‘penyelamat’ ketika harga bekalan bahan mentah itu tidak menentu di pasaran.

“Sebenarnya hobi menanam pelbagai sayur ini sudah lama saya usahakan, lebih kurang 30 tahun.

“Ada macam-macam jenis sayur yang ditanam antaranya labu air, bayam, sawi hijau, bawang merah, kacang botol, bendi, buah mempelam, bunga kantan, ulam raja dan lain-lain tanaman,” katanya kepada Bernama di kediamannya di sini.

Menurut bekas pengajar persendirian itu, untuk mendapat hasil tanaman yang segar dan berkualiti, beliau lebih gemar menggunakan baja kompos berbanding baja kimia, dengan cara kitar semula sisa makanan seperti kulit kentang, dedaun seperti daun bunga kantan dan daun serai, serta kulit telur.

“Saya sering melakukan kajian melalui pembacaan dan berkongsi ilmu dengan rakan-rakan mengenai cara menanam sayur dengan menggunakan baja semula jadi, kerana setiap tanaman mempunyai caranya yang tersendiri untuk dijaga,” katanya yang tinggal bersama anak perempuan bongsunya, Neoh Ai Hoon, 41 tahun.

Soon berkata perkara paling manis yang diperoleh daripada amalan bercucuk tanaman ialah dapat berkongsi hasil tanaman sesama jiran dan keluarga, selain mendapat sokongan dari masyarakat sekeliling untuk terus berbakti kepada tanah dan alam sekitar.

“Ada ketika tanaman labu air membesar sehingga 12 kilogram dan saya berikan labu tersebut kepada jiran dan juga pekerja kebersihan yang lalu di hadapan rumah. Mereka amat gembira dapat berkongsi hasil tanaman ini, malah hati saya turut berasa tenang,” katanya.

Beliau juga percaya bercucuk tanam patut dijadikan amalan, kerana aktiviti itu dapat mewujudkan komuniti yang sihat dengan persekitaran yang bersih dan hijau, di samping menjimatkan perbelanjaan isi rumah.

Menurut Soon kesemua anaknya turut mempunyai kebun sayur mini di tempat tinggal masing-masing di Relau dan Sungai Ara dekat sini.

“Seronok dapat tuai hasil sendiri sebab tidak perlu risau mengenai bekalan sayuran di pasaran. Sekarang orang jadi gelisah sebab harga sayur naik mendadak, jadi bercucuk tanamlah dari sekarang sebab hasilnya akan berbalik kepada kita,” nasihat Soon.

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan