Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Warga emas ini sebak kenang rumah lenyap dihanyut banjir jelang Aidiladha

Anggaran Waktu Membaca:

BALING: "Rasa macam nak mati dah mak cik ni..."

Ungkapan itu bukan daripada drama televisyen, tetapi luahan kesedihan mendalam yang lahir daripada lubuk hati Che Mah Wahab, 72 tahun, salah seorang mangsa kejadian banjir dan kepala air di Baling, Kedah baru-baru ini, lapor Astro AWANI. 

Betapa luluh hati warga emas ini apabila satu-satunya tempat berteduh dan berlindung musnah sekelip mata akibat bencana alam tersebut.

Tidak pernah terlintas di fikiran rumah yang didiaminya di Kampung Iboi sejak puluhan tahun 'lenyap' dek dihanyut kepala air.

Mungkin benar, ini adalah takdir yang sudah tertulis dan perlu diterima Che Mah dengan berlapang dada.

Namun seminggu berlalu, masa itu tidak cukup rasanya untuk Che Mah menelan segala pahit, khususnya ketika umat Islam bergembira menyambut Aidiladha hari ini (10 Jul). 

"Tak ada semangat nak raya, tak serupa dulu. Jadi bila tak sama, raya tak seronok. Pasal pindah dari rumah...," tuturnya yang tidak dapat menahan sebak mengenang insiden pada Isnin lalu.

"Sedih... minta maaf nah. Makcik jadi hilang akal," tambahnya ketika bersiaran secara langsung dalam Buletin AWANI hari ini (10 Jul). 

Raut wajah Che Mah jelas memancarkan keluh-resah kerana beliau tidak lagi boleh pulang ke rumah lamanya, yang tersimpan seribu satu kenangan bersama keluarga tercinta.

Akui wanita ini lagi, anak-anak menjadi sumber kekuatan untuk dia meneruskan kehidupan.

"Jadi tengok barang-barang, semuanya rosak segala-galanya... Mak cik jadi tiada semangat dah pasal rasa macam nak mati dah makcik ni.

"Nasib baik anak tegas sikit," kongsinya lagi.

Kehidupan Che Mah mungkin tidak semewah insan lain kerana beliau menyara kehidupan dengan bergantung kepada hasil ternakan dan bantuan anak-anak.

Kudratnya juga tidak lagi sekuat dulu untuk keluar mencari nafkah.

"Ayam itik ini tak payah kiralah, berpuluh ekor mati... Mak cik tak larat kerja dah, duk harap tumpang hak tu ja. Bil api, air anak-anak yang tolong sikit-sikit, makan minum pun serupa, mak cik jual ayam, jual itik untuk beli makan," tambah Che Mah.

Dalam masa yang sama, beliau turut mengakui belum pernah berdepan insiden kepala air seperti yang berlaku baru-baru ini.

"Masalah banjir dulu tak macam tu. Ini sampai berapa minggu dah, macam mana nak buat? Sampai bila? Itulah yang sedih," katanya seperti dinukil Astro AWANI. 

Dalam kejadian pada 4 Julai lalu, beberapa kawasan di Baling dilanda banjir selepas hujan lebat berterusan selama tiga jam menyebabkan 1,490 penduduk terjejas selain meragut tiga nyawa.

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan