Skip to main content

Dunia

Warga emas ditemui rentung susuli kebakaran di Pulau Pinang

Seorang lelaki warga emas ditemui rentung di dalam sebuah bilik tingkat atas rumah dua tingkat di Lorong Laksamana, Taman Telok Molek selepas kediaman itu musnah dalam kebakaran awal hari ini (19 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
Warga emas ditemui rentung susuli kebakaran di Pulau Pinang

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 19 Sep 2020 12:56PM Dikemas Kini : 19 Sep 2020 12:57PM

BUTTERWORTH: Seorang lelaki warga emas ditemui rentung di dalam sebuah bilik tingkat atas rumah dua tingkat di Lorong Laksamana, Taman Telok Molek selepas kediaman itu musnah dalam kebakaran awal hari ini (19 Sep).

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Noorzainy Mohd Noor berkata jenazah Encik Azali Saad, 64, ditemui dalam bilik yang disewanya di rumah itu pada kira-kira pukul 6.30 pagi.

Beliau berkata berdasarkan maklumat awal bomba, kebakaran bermula dari sebuah bilik bahagian atas rumah sebelum merebak kerana bahagian atas rumah itu diperbuat daripada kayu, menyebabkan api merebak dengan pantas, dan menurutnya punca kebakaran masih dalam siasatan.

"Arwah menyewa sebuah bilik di situ, dan terdapat dua bilik lain yang turut disewa penyewa di rumah itu namun mereka sempat menyelamatkan diri sebaik menyedari berlaku kebakaran berkenaan," katanya lagi.

Katanya mayat yang ditemui dalam keadaan rentung itu sudah dihantar ke Hospital Kepala Batas untuk dibedah siasat.

Encik Noorzainy berkata dua penyewa lain termasuk seorang wanita bersama anaknya turut dihantar ke Hospital Kepala Batas untuk pemeriksaan lanjut.

Sementara itu jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata ketika jentera bersama anggota dari Balai Bomba Penyelamat Butterworth tiba, api sedang marak, dengan bahagian atas rumah itu terbakar lebih 70 peratus.

"Pihak bomba menjalankan operasi pemadaman dan mengawal supaya api tidak merebak ke rumah lain, dan kami dimaklumkan terdapat seorang penghuni di sebuah bilik tingkat atas terperangkap, tidak sempat menyelamatkan diri semasa kebakaran.

".. semasa ditemui di dalam bilik, lelaki itu didapati sudah meninggal dunia," katanya.

Katanya lagi, sembilan jentera bersama 50 pegawai dan anggota bomba dibantu Pasukan Bomba Sukarela terlibat dalam operasi pemadaman, dengan kebakaran dapat dikawal pada pukul 7.15 pagi, dan api dipadamkan sepenuhnya kira-kira 15 minit kemudian.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita