Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Warga emas di Pulau Pinang didakwa 17 tuduhan rogol, lakukan serangan seksual terhadap dua beradik

Anggaran Waktu Membaca:

BUTTERWORTH: Seorang warga emas berusia 74 tahun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth pada Rabu (29 Jun) atas 17 tuduhan rogol dan serangan seksual fizikal terhadap dua kanak-kanak yang juga adik beradik sejak 2014.

Tertuduh, Ashaari Ibrahim yang berbaju Melayu kelabu dan berkain pelikat dihadapkan di dua mahkamah berasingan, menurut laporan Astro AWANI. 

Bagi tuduhan pertama, lelaki itu antara 1 Januari 2018 hingga 31 Disember 2018 dituduh merogol kanak-kanak yang juga adik mangsa dan ketika itu berusia tujuh tahun di sebuah rumah di Bukit Mertajam.

Jika disabit kesalahan, tertuduh yang juga guru mengaji dua kanak-kanak itu boleh dihukum mengikut Seksyen 376(1)(e) Kanun Keseksaan (KK) yang membawa hukuman penjara 20 tahun serta boleh disebat.

Dalam tempoh sama, tertuduh turut berdepan tuduhan melakukan serangan seksual fizikal ke atas mangsa di rumah sama dengan kejadian terakhir berlaku antara 1 Januari 2020 hingga 31 Disember 2020.

Berikutan itu, tertuduh berdepan tuduhan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTKK) 2017.

Bagaimanapun, tertuduh mengaku tidak bersalah ketika tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noor Aini Yusof dan minta dibicarakan.

Hakim Noor Aini mengarahkan tiada jaminan dikenakan terhadap tertuduh dan menetapkan 29 Julai depan untuk serahan dokumen serta lantikan peguam.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Syeqal Che Murat manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu, di mahkamah berasingan, tertuduh antara 1 Januari 2014 hingga 31 Disember 2014 dituduh merogol kakak mangsa yang ketika itu berusia lima tahun di lokasi sama.

Tertuduh turut berdepan tuduhan melakukan serangan seksual fizikal terhadap mangsa dengan kejadian terakhir pada Mac 2021 ketika mangsa berusia 11 tahun.

Bagaimanapun, tertuduh mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norhayati Mohd Yunus dan minta dibicarakan.

Timbalan Pendakwa Raya, Aisyah Al Humairah Kamaruzaman memohon mahkamah tidak membenarkan tertuduh dijamin kerana dibimbangi akan mengganggu mangsa dan 10 kanak-kanak lain.

Ketika diberi peluang membuat rayuan, tertuduh merayu diberikan jaminan atas alasan isterinya tidak sihat.

Bagaimanapun, Hakim mengarahkan tiada jaminan dikenakan terhadap tertuduh dan menetapkan 29 Julai depan untuk serahan laporan perubatan.

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan