Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Warga emas di M'sia retak tulang belakang disondol lembu korban

Anggaran Waktu Membaca:

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga emas retak tulang belakang selepas diserang seekor lembu di hadapan rumahnya di Bandar Menjalara, Kepong, Kuala Lumpur pada Jumaat (24 Jun), lapor Astro AWANI. 

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 10.15 pagi itu, mangsa yang berusia 81 tahun dikatakan berdiri di hadapan pagar rumahnya untuk keluar.

"Ketika itu mangsa terlihat seekor lembu sedang berlari di taman berdekatan rumahnya. Namun secara tiba-tiba lembu tersebut meluru ke arah mangsa dan menanduk perut mangsa sehingga menyebabkan mangsa terjatuh.

"Akibat daripada kejadian itu, mangsa mengalami retak tulang belakang dan sakit pada bahagian belakang bahu," katanya dalam kenyataan pada Ahad (26 Jun). 

Encik Beh menambah, mangsa kini sedang menerima rawatan di Hospital Desa Park City Medical Centre, Kuala Lumpur. 

Beliau berkata, hasil semakan mendapati sebelum ini tular rakaman video sepanjang 3 minit 22 saat yang menunjukkan seekor lembu terlepas berhampiran Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) menghala Sungai Buloh.

"Video itu menyaksikan aksi seorang pembantu pemandu lori cuba untuk menambat lembut tersebut namun disebabkan lembu itu bertindak agresif, ia terlepas dan lari menghala ke Sungai Buloh," katanya, seperti dinukil Astro AWANI. 

Menurutnya lagi, polis kemudian menerima aduan daripada pengerusi Masjid Anas Bin Malik di Kampung Selayang Lama mengenai seekor lembu yang ditambat di kawasan masjid itu terlepas sewaktu proses mencucuk hidung lembu tersebut.

Encik Beh turut memberitahu Astro AWANI bahawa lembu tersebut disedekahkan orang awam untuk tujuan korban.

"Jadi kami percaya lembu yang terlepas lari ini adalah lembu yang menyebabkan kecederaan pada mangsa," ujarnya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 289 Kanun Keseksaan kerana kecuaian melepaskan haiwan sehingga mendatangkan ancaman bahaya kepada nyawa orang awam.

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan