Warga emas cedera parah selepas beg tangan cuba diragut
Seorang wanita cedera parah setelah jatuh tertiarap dalam satu kejadian cubaan ragut di Lorong Lebuh Mahsuri, Bayan Baru di George Town, Pulau Pinang pada awal pagi Sabtu (1 Dis).
Gambar fail kereta polis di Malaysia. (Gambar: Manan Vatsyayana/AFP)
GEORGE TOWN: Seorang wanita cedera parah setelah jatuh tertiarap dalam satu kejadian cubaan ragut di Lorong Lebuh Mahsuri, Bayan Baru di George Town, Pulau Pinang pada awal pagi Sabtu (1 Dis).
Wanita berusia 60 tahun, yang merupakan seorang peniaga nasi lemak, itu sehingga kini tidak sedarkan diri dan dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Pulau Pinang.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden A.A Anbalagan, berkata kejadian tersebut dilaporkan pada pukul 6.15 pagi ketika wanita itu dan dua rakannya sedang berjalan kaki untuk ke rumah rakannya di kawasan itu setelah meletakkan kereta di tempat letak kereta.
“Mangsa dihampiri dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal dan mereka cuba meragut beg tangan wanita itu. Suspek gagal mendapatkan beg tangan wanita itu tetapi mangsa terjatuh ke lantai,” katanya semalam (3 Dis).
Encik Anbalagan berkata wanita itu tidak mengalami kecederaan luaran namun menurut doktor, mangsa kemungkinan besar mengalami pendarahan dalaman di kepala.
Beliau berkata kawasan kejadian tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) dan polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.