Skip to main content

Dunia

Warga Australia didakwa bunuh remaja Thailand yang ditemukan mati dalam beg pakaian

Keluarga seorang remaja perempuan Thailand berusia 17 tahun, yang mayatnya ditemukan dalam sebuah beg pakaian di Pattaya, berkata mereka amat sedih dengan kematiannya.

Anggaran Waktu Membaca:
Warga Australia didakwa bunuh remaja Thailand yang ditemukan mati dalam beg pakaian

Pegawai polis Thailand bersama Simon Peter, seorang lelaki warga Australia yang diberkas kerana disyaki membunuh seorang remaja perempuan Thailand berusia 17 tahun di Pattaya, di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi di Samut Prakan, Thailand, pada 27 Jun 2026. (Gambar: REUTERS/Polis Wilayah Pattaya)

Diterbitkan : 28 Jun 2026 06:09PM
BANGKOK: Keluarga seorang remaja perempuan Thailand berusia 17 tahun, yang mayatnya ditemukan dalam sebuah beg pakaian di Pattaya, berkata mereka amat sedih dengan kematiannya.

Seorang lelaki warga Australia sudah diberkas dan didakwa atas tuduhan membunuh berhubung kes itu.

Menurut Polis Thailand, pihaknya memberkas seorang lelaki Australia berusia 40-an tahun di Lapangan Terbang Suvarnabhumi, Bangkok, awal Sabtu (27 Jun), berhubung pembunuhan di Pattaya, kira-kira 150 kilometer ke timur Bangkok.

Suspek, yang dikenal pasti sebagai Simon Peter Carman, berdepan tuduhan membunuh, menyembunyikan mayat, memindahkan atau memusnahkan mayat, serta mengambil seorang individu bawah umur bagi tujuan seksual.

Menurut Polis Thailand, pihaknya meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan Carman memasuki sebuah kondominium bersama remaja itu, sebelum keluar bersendirian beberapa jam kemudian sambil membawa sebuah beg pakaian.

Dalam satu catatan di laman Facebook rasminya, polis menyatakan lelaki itu mengangkut beg pakaian tersebut ke atas sebuah motosikal dan menunggangnya ke sebuah kawasan berumput berhampiran landasan kereta api. Polis kemudian mengeluarkan waran tangkap dan memberkas Carman di lapangan terbang ketika dia bersiap sedia untuk menaiki penerbangan pulang ke Australia.

Di bilik siasatan di balai polis, Carman menyampaikan pesanan kepada keluarga mangsa sebelum dia dipindahkan ke Mahkamah Wilayah Pattaya.

"Saya berasa kesal atas apa yang berlaku kepada anak perempuan anda. Ia berada di luar kawalan saya," katanya.

Bapa mangsa, Thongchai Donhomla, 46 tahun, berkata beliau masih sukar untuk menerima kehilangan anak perempuannya itu.

"Saya amat sedih. Anak saya tiada ibu, jadi setiap kali dia mahukan sesuatu, dia akan mencari jalan sendiri, dan dia juga sentiasa membantu saya," kata beliau.

Ibu tirinya, Oradee Bussarakum, berkata beliau mahu suspek dikenakan hukuman paling berat.

"Saya beritahu polis bahawa saya mahu dia dihukum mati. Sebagai seorang ibu (tiri), saya tidak tahu apa lagi yang hendak dikatakan ... Saya cuma mahu dia menerima akibat yang seberatnya," kata beliau.

Polis belum menyatakan bila Carman akan dihadapkan ke mahkamah buat pertama kali.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita