Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Warden warga SG dera 4 pelajar tahfiz di M'sia

Anggaran Waktu Membaca:
AYER KEROH: Seorang warden sebuah pusat tahfiz terkenal di Melaka dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, pada Selasa (30 Mei) atas pertuduhan memijak perut, menampar, menumbuk dan memukul empat pelajarnya sehingga cedera sejak Februari lalu.

Tertuduh, Muhammad Farhan Abdul Rashif, 35 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus lima pertuduhan terhadapnya dibacakan di dua mahkamah berasingan di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam dan Mohd Sabri Ismail.

Mengikut dua pertuduhan di hadapan Encik Darmafikri, tertuduh sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan ke atas dua pelajarnya berusia 14 tahun empat bulan dan 14 tahun 11 bulan didakwa mendedahkan remaja itu kepada bahaya, lapor Astro Awani.

Mangsa ditampar serta ditumbuk pada bahagian pipi, ditendang pada perut dan dipijak pada dada, manakala seorang lagi mengalami kecederaan fizikal di bahagian kaki kanan.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah guru di pusat tahfiz dalam daerah Melaka Tengah pada 7 dan 8 Mei lalu.

Justeru, tertuduh yang juga warga Singapura boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda maksimum tidak melebihi RM50,000 (S$14,700) mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama 31(2) akta sama.

Tertuduh turut dihadapkan dengan tiga lagi pertuduhan di bawah seksyen sama di hadapan Hakim Mohd Sabri melibatkan dua pelajarnya yang ketika kejadian berusia 15 tahun.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan mendedahkan remaja itu kepada bahaya dengan cara menampar pipi dan memukul badan sebelah kiri mangsa menggunakan rotan buluh, manakala seorang lagi dipijak di bahagian perutnya.

Kesalahan itu dilakukan di surau dan gelanggang bola pusat tahfiz sama pada pertengahan Februari dan 10 Mei lalu, seperti dipetik laporan Astro Awani.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, N Svashangari dan Muhammad Nazrin Ali Rahim tidak mencadangkan sebarang jaminan dengan mengambil kira faktor keselamatan mangsa.

Mahkamah kemudian tidak memberikan sebarang jaminan dan menetapkan 26 Jun depan sebagai sebutan semula kes.

Tertuduh diwakili peguam Faathir Imran.
Sumber : Agensi berita/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan