Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Waran tangkap 2 pegawai kanan polis dikeluarkan susuli tragedi Itaewon

Anggaran Waktu Membaca:
Waran tangkap 2 pegawai kanan polis dikeluarkan susuli tragedi Itaewon

Lee Im-jae, bekas ketua Balai Polis Yongsan, tiba di Mahkamah Daerah Barat Seoul pada 23 Disember 2022. (Gambar: Yonhap)

SEOUL: Dua pegawai kanan polis daerah diberkas pada Jumaat (23 Dis) kerana gagal memberi respons segera terhadap rempuhan yang meragut nyawa 158 orang di Itaewon, Seoul.  

Mahkamah Daerah Barat Seoul mengeluarkan waran tangkap terhadap Lee Im-jae, bekas ketua Balai Polis Yongsan, atas kecuaian semasa menjalankan tugas sehingga menyebabkan kematian atau kecederaan. 

Dia dituduh tidak mengambil langkah-langkah bagi mengawal kesesakan yang secukupnya selepas amaran berlaku kesesakan dikeluarkan sewaktu sambutan Halloween dan hanya tiba di tempat kejadian hampir sejam setelah nyawa terkorban, lapor agensi berita Yonhap. 

Mahkamah turut meluluskan penangkapan Song Byung-joo, bekas ketua bilik talian kecemasan 112 balai polis itu, atas tuduhan yang sama. 

Pada 5 Disember lalu, mahkamah mengeluarkan waran tangkap terhadap Park Sung-min, bekas pegawai risikan berpangkat tinggi di Agensi Polis Metropolitan Seoul, dan Kim Jin-ho, bekas pegawai risikan di Balai Polis Yongsan. 

Ketika itu, pasukan siasatan khas turut membuat permohonan waran tangkap bagi Lee dan Song, namun permohonan itu ditolak oleh mahkamah. 

Dalam percubaan keduanya, pasukan siasatan tersebut menambah satu lagi tuduhan terhadap Lee kerana memalsukan laporan amaran awal. 

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan