Skip to main content

Dunia

Wanita warga asing ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang; bergurau bawa bom dalam beg

Anggaran Waktu Membaca:

GEORGE TOWN: Tindakan seorang wanita warga asing yang bergurau kononnya membawa bom dalam begnya membawa padah apabila dia ditahan pihak berkuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di Bayan Lepas, George Town, pada Khamis (29 Dis). 

Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintenden Kamarul Rizal Jenal berkata wanita berusia 33 tahun itu ditahan pada pukul 4.30 petang selepas dia bergurau dengan menyebut ada bom ketika pemeriksaan barang dalam begnya di kaunter daftar masuk LTAPP.

“Wanita yang bekerja sebagai operator kilang di Ipoh, Perak, menyebut dengan lantang "ada bom" sehingga didengari kakitangan di kaunter itu dan orang lain yang sedang menunggu untuk mendaftar masuk penerbangan di lapangan terbang tersebut.

“Semasa kejadian wanita itu bersama dua rakannya dijadualkan menaiki penerbangan ke Medan, Indonesia, pada pukul 5.30 petang,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat malam (30 Dis). 

Menurut beliau, wanita itu kini direman sehingga Sabtu (31 Dis) dan kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita