Wanita Vietnam ditemui mati dengan kesan tikaman
Seorang wanita warga Vietnam ditemui mati dalam keadaan bogel dengan kesan tikaman di leher, dipercayai dibunuh, dalam kejadian di rumahnya Taman Duku, Juru di Pulau Pinang semalam (21 Dis).
Gambar fail kereta polis di Malaysia. (Gambar: Manan Vatsyayana/AFP)
BUKIT MERTAJAM: Seorang wanita warga Vietnam ditemui mati dalam keadaan bogel dengan kesan tikaman di leher, dipercayai dibunuh, dalam kejadian di rumahnya Taman Duku, Juru di Pulau Pinang semalam (21 Dis).
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid, berkata mayat Thi Thuong Nguyen, 26 tahun, ditemui di atas sofa ruang tamu di rumah sewanya pada pukul 1.35 tengah hari selepas polis memecah masuk rumah itu untuk membuat pemeriksaan.
ACP Nik Ros Azhan berkata polis menerima maklumat daripada rakan senegara wanita itu, yang memaklumkan bahawa mangsa gagal dihubungi sejak Khamis (20 Dis).
Menurut beliau, rakannya pergi ke rumah mangsa untuk membuat pemeriksaan namun rumah teres satu tingkat yang disewa mangsa sejak empat bulan lalu didapati berkunci.
"Rakannya cuba memanggil wanita itu namun tidak bersahut dan rumah dalam keadaan sunyi walaupun beberapa lampu menyala. Dia yang bimbang sesuatu terjadi kepada kawannya terus menghubungi polis," katanya.
ACP Nik Ros Azhan menambah bahawa sepasukan polis yang membuat pemeriksaan di rumah itu menemui mangsa terbaring dalam keadaan bogel di atas sofa dan terdapat kesan darah serta percikan di dinding serta lantai rumah.
Beliau berkata muka mangsa ditutup dengan kain tuala serta bantal, dan pemeriksaan awal oleh doktor mendapati luka pada tangan serta kecederaan lain iaitu tikaman di leher wanita berkenaan.
Menurutnya, mangsa dipercayai mati dalam tempoh dua hingga tiga hari berdasarkan keadaan mayat yang kembung serta berbau. Mayat wanita itu dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat.
"Pintu dan pagar hadapan rumah itu berkunci namun pintu belakangnya tidak berkunci. Pemeriksaan di sekitar tempat mangsa ditemui mendapati tiada sebarang kesan pergelutan kerana barang-barang di sekitar tidak berselerak. Polis percayai wanita itu dibunuh oleh suspek yang dikenalinya," katanya.
ACP Nik Ros Azhan berkata terdapat satu kamera litar tertutup di bahagian belakang rumah kedai yang menghala ke arah pintu rumah mangsa, dan polis akan meneliti rakamannya bagi mengenal pasti suspek terlibat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.