Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Wanita tidak segan silu minta 'tapau' lauk sebelum kenduri bermula

Anggaran Waktu Membaca:
Wanita tidak segan silu minta 'tapau' lauk sebelum kenduri bermula

(Gambar: TikTok/wan_takaful)

Diterbitkan : 19 Sep 2023 11:58PM Dikemas Kini : 20 Sep 2023 12:00AM
KUALA LUMPUR: Memberi tetamu 'berkat' makanan yang dibungkus dari kenduri adalah amalan biasa masyarakat terutama kepada saudara mara selepas majlis selesai.

Bagaimanapun, tular di media sosial pada Ahad (17 Sep), seorang wanita yang tanpa segan silu meminta pihak katering membungkus makanan untuknya.

Menariknya, wanita itu turut membawa bekas makanan sendiri dan memberikan kepada pihak katering dengan harapan dapat membawa pulang makanan.

Lokasi majlis itu tidak dapat dipastikan, namun difahamkan wanita berkenaan meminta makanan berkenaan dibungkuskan seawal pukul 10.30 pagi, iaitu sebelum majlis bermula lapor portal berita Malaysia Berita Harian.

Malah, wanita itu berkata tuan rumah sudah membayar makanan berkenaan dan meminta supaya pihak katering membungkuskan satu atau dua lauk untuknya.

"Tuan rumah kan sudah bayar. Setakat satu dua bungkus takkan tak boleh bungkus," mintanya.

Bagaimanapun, dua pekerja wanita berkenaan memaklumkan mereka tidak boleh berbuat demikian kerana masih awal, dan jika sudah di akhir majlis tiada masalah untuk berbuat demikian.

"Tak boleh makcik, kalau akhir-akhir tu bolehlah kita orang nak bungkus," katanya.

Wanita itu bagaimanapun berkeras juga mahukan lauk dibungkus kepadanya.

"Makcik nak juga. Makcik nak dua, tiga jenis lauk je," katanya.

Namun pekerja berkenaan menjelaskan dengan baik bahawa pengurus serta tuan rumah tidak memaklumkan apa-apa kepada mereka setakat itu, dan mereka juga tidak boleh berbuat sesuka hati kerana bimbang jika berlaku sebarang masalah, seperti dinukil Berita Harian.

Video itu dikongsikan seorang individu yang memaklumkan wanita berkenaan sudah makan di majlis tersebut dan mahu bungkus makanan pula.

Katanya, kenduri itu menggunakan katering manakala majlis belum bermula dan ketika itu baru pukul 10.30 pagi.

"Yang minta 'tapau' dengan budak-budak katering ni sama-sama tak nak kalah. Korang rasa sampai bila nak habis budaya 'tapau' lauk kenduri ni?" tulisnya dalam video berkenaan, seperti dipetik Berita Harian Malaysia.

Sementara itu, seorang pengguna berpesan sesiapa yang pergi kenduri yang menggunakan katering, jangan minta bungkus kerana selalunya makanan adalah cukup-cukup.

Seorang lagi pengguna, mengatakan zaman sekarang, ramai makcik yang suka membungkus makanan walaupun majlis belum habis.
Sumber : Agensi berita/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan