Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Wanita terpaksa berpantang kali kedua di pusat pemindahan gara-gara banjir

Anggaran Waktu Membaca:
JASIN: Banjir yang melanda Sungai Rambai, Jasin, sejak Khamis (2 Mac) menyebabkan Noor Adilla Kharrudin, 33 tahun, berpantang di pusat pemindahan sementara (PPS) buat kali kedua.

Ibu kepada lapan cahaya mata itu berkata dia bersama bayi perempuan berusia 21 hari dan keluarganya dipindahkan ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Gajah pada Sabtu (4 Mac) lalu.

Ia berikutan rumah mereka dinaiki air separas lutut.

"Ini merupakan kali kedua saya terpaksa berpantang di sini. Kali pertama ketika melahirkan anak ketujuh yang kini berusia setahun empat bulan, iaitu di PPS yang sama setelah rumah kami di Kampung Parit Putat Benteng terjejas banjir.”

"Keadaan saya di sini baik-baik sahaja termasuk bayi yang tidak banyak ragam, selain ada jururawat yang datang memantau dan tempat tinggal yang selesa serta lain-lain kemudahan," katanya kepada pemberita di Jasin pada Isnin (6 Mac).

Cik Noor Adilla berkata dia juga bersyukur kerana semua urusan termasuk hal anak yang lain dibantu oleh suami, Muhammad Firdaus Salam, 36 tahun, selain sempat menyelamatkan dokumen dan barangan penting.

Sementara itu, Asmah Ab Ghani, 58 tahun, dari Kampung Batu Gajah, Jalan Simen, Jasin, berkata dia dan seorang lagi anak perempuannya masih belum dapat pulang ke rumah kerana air banjir masih bergenang di halaman rumahnya.

Cik Asmah, yang berpindah pada Sabtu lalu berkata banjir kali ini menyebabkan rumahnya dinaiki air separas pinggang selain dimasuki haiwan berbisa.

"Kalau boleh memang lebih selesa di rumah sendiri tetapi atas sebab keselamatan dan nasihat pihak berkuasa kita perlu ikut arahan diberikan," katanya.
Sumber : Bernama/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan