Skip to main content

Dunia

Wanita terdesak minta abang Foodpanda tolong tangkap lipas di rumah

Anggaran Waktu Membaca:
 Wanita terdesak minta abang Foodpanda tolong tangkap lipas di rumah

Petikan gambar daripada TikTok. (Gambar: GermainIce/TikTok)

Diterbitkan : 12 Oct 2023 07:36PM
SINGAPURA: Kalau kita sudah dalam keadaan terdesak, apa pun sanggup dilakukan untuk selamatkan diri daripada lipas. ya lipas!

Lipas memang 'masalah dunia'.

Kemunculan lipas memang boleh membuat sesiapa pun jadi tidak keruan. Rasa nak menjerit, nak menangis, berpeluh-peluh menggigil pun ada.

Begitu juga bagi seorang wanita Singapura ini, yang menerima tetamu tidak diundang itu di rumahnya pada satu malam baru-baru ini dan mendapatkan khidmat abang Foodpanda untuk menyelamatkan beliau.

Bagaimana ini boleh berlaku?

Pengguna TikTok dengan nama GermainIce itu, berkongsi pengalaman beliau yang terjaga pada waktu malam dan berasa lapar. Beliau kemudian menempah makanan melalui platform Foodpanda.

Beliau kemudian melangkah ke ruang tamu dan terlihat kelibat berwarna hitam di lantai dan terus berasa seperti ada yang tidak kena.

"Biasanya saya akan tutup tingkap pada waktu malam kerana akan ada serangga berterbangan dan saya takut dan membencinya. Namun baru-baru ini saya leka sehingga terlupa.

"Saya nampak sesuatu yang besar dan berwarna hitam di lantai dan perasaan saya tahu ada yang tidak kena. Dengan cepat saya pakai cermin mata dan ternyata ia seekor lipas yang besar!!!!"

Menurut catatan GermainIce, beliau segera menghubungi seorang rakan dengan nama online @ricky_noveandy untuk meminta bantuan kerana memang rakan yang seorang itulah yang selalu dapat menyelamatkan beliau daripada segala macam serangga.

Malangnya, @ricky_noveandy tidak ada di rumah pada malam itu.
Dalam keadaan terdesak, GermainIce menghantar mesej menerusi platform Foodpanda kepada pekerja penghantar makanan, bernama Desmond, yang akan sampai ke rumahnya membawa makanan yang dipesan.

Mesej itu berbunyi: "Hi boleh tolong saya tangkap lipas? Terdesak".

Menurut GermainIce, beliau berasa amat malu kerana tidak pernah membuat sebarang permintaan tambahan apabila menempah makanan online. Namun beliau terdesak.

GermainIce juga menghantar gambar yang menunjukkan sangkar hamster dan berkata lipas tersebut berada di belakang sangkat tersebut.

Beliau kemudian berkongsi gambar menunjukkan abang Foodpanda sudah tiba dan sedang menangkap lipas.

Katanya, beliau menawarkan penyembur Baygon. Namun abang Foodpanda menolak dan hanya memerlukan tisu untuk menangkap lipas.

Beliau menambah bahawa abang Foodpanda berkenaan juga rupa-rupanya tidak takut lipas terbang. Maka, beliau bernasib baik.

"Terima kasih pekerja penghantaran Foodpanda Desmond, penyelamat saya, atas kecekapan awak.

"Awak dan seluruh keluarga awak dan keturunan awak akan diberkati.

"Dan makanan saya masih panas selepas seluruh saga ini!"

Nasib baik ada abang Foodpanda sebagai wira.
Sumber : BERITA Mediacorp/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita