Wanita Sindrom Down ini penuhi impian jadi pramugari
Impian seorang wanita rakyat Australia yang mengalami Sindrom Down menjadi seorang pramugari tercapai, dengan bantuan syarikat penerbangan Jetstar Airways.
Georgia Knoll, wanita kurang upaya, berpeluang menjadi pramugari sehari, menceriakan penumpang Jetstar Airways.
QUEENSLAND: Impian seorang wanita rakyat Australia yang mengalami Sindrom Down menjadi seorang pramugari tercapai, dengan bantuan syarikat penerbangan Jetstar Airways.
"Tujuan saya menjadi seorang pramugari semata-mata untuk membawa keceriaan kepada para penumpang," kata Georgia Knoll, seorang penduduk Queensland, yang berpeluang melakukan penerbangan sebagai seorang kakitangan kehormat syarikat penerbangan itu.
Pada November lalu, satu rakaman video yang menunjukkan Knoll berlatih persis seorang anak kapal, seperti memberikan snek kepada para penumpang dan memakai topeng oksigen, menjadi tular di Facebook, lapor The Epoch Times. Video berkenaan dimuat naik ke laman media sosial itu oleh salah seorang adik beradiknya, Kathryn.
Menurut laporan Fox News, Knoll yang berusia 25 tahun berpeluang merasakan sendiri pengalaman menjadi seroang anak kapal.
Beliau baru-baru ini meluangkan masa selama sehari dengan syarikat penerbangan itu bersama-sama para anak kapal lain.
Rakaman video yang dimuat naik oleh Jetstar ini ditonton lebih 448,000 kali sejak ia dimuat naik ke Facebook.
Knoll yang ditemani ibunya, Debra, disambut oleh para kakitangan Jetstar setibanya di sebuah lapangan terbang. Beliau juga diberikan pakaian seragam anak kapal.
Knoll kemudian melakukan penerbangan sejauh 950 kilometer dari Brisbane ke Mackay. Sepanjang penerbangan itu, beliau membantu menyambut para penumpang, serta melakukan demonstrasi keselamatan dan menghidangkan makanan kepada penumpang, lapor The Times.
Ternyata seperti yang dilihat dalam video Jetstar ini, wanita istimewa itu kelihatan sangat gembira sepanjang pengalaman "luar biasa" itu.
"Beliau melihat semua orang ssama saja," kata Debra. "Saya rasa ini memberitahu masyarakat bahawa anda tidak boleh menyekat aspirasi orang lain."
"Mengalami Sindrom Down adalah sesuatu yang baik" kata Knoll. "Itulah yang membentuk diri saya."
"Saya hanya ingin memecahkan tembok persepsi... dan menjadi apa saja yang saya inginkan," tambahnya.
Nicky, seorang anak kapal Jetstar, berkongsi beliau gembira dapat meluangkan masa bersama Knoll selama sehari.
"Georgia begitu ceria dan hebat dengan para pelanggan kami. Beliau sangat luar biasa kepada pasukan kami dan kami semua berasa sangat bertuah dapat meluangkan masa bersamanya," kata Nicky, seperti yang dipetik oleh Yahoo News.
Malah, para netizen turut menggesa agar Knoll ditawarkan peluang untuk bekerja dengan syarikat penerbangan itu sebagai seorang kakitangan sepenuh masa.
"Adalah baik jika Georgia dapat menyertai pasukan Jetstar secara tetap. Beliau adalah satu inspirasi! Syabas Jetstar," kata seorang netizen.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.