Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Wanita SG dan bayi 4 bulan maut dalam nahas jalan raya di Hokkaido

Seorang wanita rakyat Singapura dan bayi perempuannya yang berusia empat bulan terbunuh dalam satu nahas jalan raya di wilayah Hokkaido, Jepun pada Selasa (10 Jan), selepas kereta yang dinaikinya bertembung dengan sebuah lori.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seorang wanita rakyat Singapura dan bayi perempuannya yang berusia empat bulan terbunuh dalam satu nahas jalan raya di wilayah Hokkaido, Jepun pada Selasa (10 Jan), selepas kereta yang dinaikinya bertembung dengan sebuah lori.

Menurut laporan NHK, kemalangan itu berlaku pada kira-kira pukul 11.30 pagi pada 10 Januari.

Kereta yang dinaiki mangsa sekeluarga bertembung dengan sebuah lori di simpang jalan raya di Kamifurano iaitu sebuah bandar di Hokkaido.

Mangsa berusia 41 tahun dan bayi perempuannya yang berusia empat bulan terbunuh dalam kemalangan itu, menurut polis Jepun.

Ketika kemalangan itu berlaku, kereta tersebut dipandu oleh suami mangsa.

Beliau dan seorang lagi anak perempuan mereka yang berusia tiga tahun mengalami kecederaan parah. Kedua-duanya dibawa ke hospital.

Pemandu lori yang terlibat dalam kemalangan itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

NHK melaporkan bahawa kereta yang dinaiki mangsa sekeluarga merupakan kereta sewa dan keluarga itu sedang bercuti di Hokkaido.

Simpang di mana kemalangan itu berlaku tidak mempunyai sebarang lampu trafik tetapi terdapat sebuah isyarat berhenti di jalan raya di mana kereta itu sedang berlalu. 

Jalan raya itu diselimuti salji pada ketika itu, menurut NHK.

Polis Jepun sedang menyiasat punca kemalangan.

Mediacorp sudah pun menghubungi Kementerian Ehwal Luar Singapura untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Sumber : Agensi berita/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan