Wanita Sepanyol berusia 113 tahun bebas COVID-19
Warga emas berusia 113 tahun dan dipercayai individu tertua di Sepanyol disahkan bebas daripada COVID-19 di sebuah rumah penjagaan, selepas beberapa orang penghuninya meninggal dunia akibat wabak berkenaan.

(Gambar: AFP/Gabriel BOUYS)
MADRID: Warga emas berusia 113 tahun dan dipercayai individu tertua di Sepanyol disahkan bebas daripada COVID-19 di sebuah rumah penjagaan, selepas beberapa orang penghuninya meninggal dunia akibat wabak berkenaan.
Menurut sumber rasmi pusat itu, Cik Maria Branyas berasal dari Amerika Syarikat (AS) dijangkiti COVID-19, pada April lalu di pusat penjagaan Santa Maria del Tura yang terletak di bandar Olot, di bahagian timur.
Cik Branyas menetap di pusat penjagaan itu sejak 20 tahun lalu dan telah bertarung dengan masalah pernafasan COVID-19 dalam pengasingan di biliknya.
"Beliau sembuh dari penyakit itu dan berada dalam keadaan baik.
"Ujian pengesanan COVID-19 yang dijalaninya pada minggu lalu menunjukkan keputusan negatif," menurut jurucakap pusat penjagaan itu.
Menurutnya lagi, Cik Branyas cuma mengalami simptom ringan COVID-19.
Ibu kepada tiga orang anak itu terpaksa menjalani pengasingan di biliknya selama beberapa minggu, dengan hanya seorang kakitangan yang mengenakan pakaian perlindungan diri memeriksa keadaannya setiap hari menurut stesen televisyen serantau yang menyiarkan tentang warga emas itu.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, media Sepanyol turut menyiarkan rencana mengenai Cik Branyas yang dipercayai individu tertua di negara itu.
Cik Branyas dilahirkan pada 4 Mac 1907 di San Francisco dan bapanya yang berasal dari utara Sepanyol bekerja sebagai wartawan.
Keluarganya berpindah ke Sepanyol ketika Perang Dunia Pertama dan turut merasai pengalaman melalui pandemik Selesema Sepanyol (Spanish Flu) yang melanda dunia pada 1918 hingga 1919.
Dalam perkembangan lain, Sepanyol antara negara dunia yang paling teruk terjejas akibat wabak COVID-19 dengan kira-kira 27,000 kematian dicatatkan setakat ini, menurut angka rasmi oleh Kementerian Kesihatan.
Golongan tua antara yang paling mudah untuk dijangkiti COVID-19 dan di Sepanyol dan kebanyakan negara Eropah, wabak berkenaan mengorbankan ramai mangsa dalam kalangan warga emas di rumah persaraan.
Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.