Wanita PKR kecam tindakan Taliban halang wanita lanjutkan pengajian ke universiti
KUALA LUMPUR: Sayap Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengecam tindakan pemerintah Taliban yang mengharamkan wanita Afghanistan daripada melanjutkan pengajian ke peringkat universiti dan mengkritik dasar yang mengangkat sistem yang regresif.
Ketuanya Fadhlina Sidek memberitahu Astro AWANI bahawa langkah berkenaan akan memberi implikasi jangka panjang yang akhirnya akan menyebabkan kesan yang lebih buruk kepada landasan pentadbiran negara yang didakwa berasaskan Islam.
"Ketidakterlibatan wanita dalam institusi pengajian tinggi akhirnya akan menyebabkan kadar partisipasi wanita dalam tenaga kerja akan lebih sedikit. Ini juga akan menjurus kepada ruang dan peluang dominasi yang berpihak hanya kepada satu gender dan tidak mewakili suara segenap masyarakat," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat (23 Dis).
Tambahnya lagi, dasar tersebut hanya akan melebarkan jurang daya saing antara gender dari sudut peluang pekerjaan berkualiti, status ekonomi dan sosial.
Justeru, Cik Fadhlina yang juga Menteri Pendidikan mendesak pihak pemerintah Taliban supaya mempertimbangkan untuk menarik balik sekatan tersebut dan mengembalikan akses wanita Afghanistan melanjutkan pengajian ke universiti.
Pada Rabu, media melaporkan Taliban melarang pelajar perempuan daripada meneruskan pendidikan universiti, berkuat kuasa serta-merta.
Berdasarkan surat dikongsikan oleh jurucakap Kementerian Pengajian Tinggi, Ziaullah Hashmi, universiti swasta dan awam perlu melaksanakan larangan itu secepat mungkin serta memaklumkan kepada kementerian sebaik larangan itu dilaksanakan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.