Wanita Palestin ini buktikan ilmu tidak kenal usia; genggam ijazah pada usia 85 tahun
Kali terakhir Jihad Butto menduduki bangku sekolah sebelum ini adalah pada 1948.
(Gambar: REUTERS)
KFAR BARA: Kali terakhir Jihad Butto menduduki bangku sekolah sebelum ini adalah pada 1948.
Menyusuli tragedi 'Nakba' yang menyaksikan pengusiran besar-besaran penduduk Palestin, wanita itu terpaksa berhenti belajar ketika usianya 12 tahun.
Walau berdekad berlalu sejak itu, semangat Jihad untuk mengejar pendidikan tidak pernah pudar.
Kini, ibu kepada tujuh anak itu dapat berbangga setelah mencapai impiannya untuk menggenggam segulung ijazah daripada Kfar Bara Center for Islamic Studies pada usia senja 85 tahun.
“Sebelum saya memohon untuk ke Kfar Bara, orang di sekeliling saya tahu bagaimana saya cintakan pendidikan dan saya selalu membaca buku," katanya menurut satu laporan Reuters.
“Ada yang beritahu saya tentang sijil Kfar Bara dan tanya kalau saya mahu menyertainya. Saya kata di mana sahaja ada ilmu, saya pasti akan pergi.”
Dua rakannya kemudian mendaftarkannya di pusat pengajian itu empat tahun yang lalu, ketika usianya 81 tahun, dan Jihad mengambil kursus bahasa, agama dan matematik.
“Guru-guru banyak bercakap mengenai saya. Mereka juga menjadikan saya contoh buat pelajar lain. Bila saya menerima ijazah, ada yang bertanya kepada Dekan, adakah mereka membantu saya? Dekan kata tidak, malah dia kata saya sebenarnya banyak membantu pelajar lain dalam pelbagai topik,” ujarnya.
Jihad, yang tidak lokek dengan ilmu yang diraih, kini mengajar wanita-wanita lain dalam masyarakatnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.