Wanita maut, suami dirawat di ICU selepas makan ikan buntal di Johor
(Gambar: Sumber web)
JOHOR BAHRU: Seorang wanita warga emas berusia 83 tahun maut manakala suaminya dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) akibat mengalami keracunan selepas menikmati hidangan ikan buntal di Kluang pada tengah hari Sabtu (25 Mac), lapor Astro AWANI.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon, berkata suami wanita itu dirawat di ICU Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom (HEBHK), Kluang.
Katanya, terdahulu Jabatan Kesihatan Negeri Johor menerima laporan keracunan makanan yang menyebabkan kematian.
"Ia melibatkan sepasang suami isteri yang tinggal di Jalan Sin Tiam Chamek, Kluang yang mendapatkan bekalan ikan buntal dari penjual online melalui Facebook.
"Bekalan diterima pada Sabtu lalu pada waktu pagi. Selepas itu ikan berkenaan dibersihkan dan digoreng untuk dibuat makan tengah hari bersama sayur dan daging khinzir.
"Pada pukul 3.00 petang, wanita berkenaan mula menunjukkan gejala sesak nafas dan menggigil. Kira-kira sejam kemudian, suaminya turut mengalami gejala sama," Astro AWANI memetik kata-kata Cik Ling dalam satu kenyataan pada Selasa (28 Mac).
Menurut Cik Ling, pasangan tersebut kemudian dibawa ke Jabatan Kecemasan HEBHK Kluang pada pukul 5.00 petang oleh anak mereka yang tinggal berasingan.
"Walau bagaimanapun wanita itu telah meninggal dunia pada pukul 7.00 petang, manakala suaminya masih lagi menerima rawatan di ICU.
"Difahamkan ini adalah kali pertama pasangan ini makan masakan berasaskan ikan buntal," katanya.
Jelas Cik Ling, siasatan lanjut mendapati ikan buntal segar itu diperolehi dari nelayan di Endau sebelum diambil oleh pemborong untuk diproses di Batu Pahat.
Katanya, penjual yang mengedarkan ikan buntal itu berasal dari Batu Pahat, membuat edaran kepada pelanggan berdasarkan tempahan yang dibuat melalui Facebook.
"Sebanyak 15 kilogram ikan buntal telah dijual di sekitar Chamek (empat pelanggan), Paloh (empat pelanggan) dan Yong Peng (satu pelanggan) pada hari tersebut. Selain pasangan terbabit, kesemua pelanggan belum makan ikan berkenaan.
"Pejabat Kesihatan Daerah Kluang dan Batu Pahat telah mengambil sampel ikan buntal daripada semua pembeli itu. Sampel ini telah dihantar ke makmal untuk tujuan analisis. Sehingga kini tiada lagi laporan kes baru berkaitan ikan buntal.
"Saya ingin mengingatkan masyarakat untuk sentiasa berhati-hati di dalam memilih makanan terutama jika ia mempunyai risiko yang telah diketahui," katanya, seperti dinukil Astro AWANI.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.