Wanita maut dilanggar kereta pandu sendiri Uber
Sebuah kereta Uber tanpa pemandu melanggar mati seorang wanita yang sedang menyeberang jalan di Arizona, Amerika Syarikat.
TEMPE, SAN FRANCISCO: Sebuah kereta Uber tanpa pemandu melanggar mati seorang wanita yang sedang menyeberang jalan di Arizona, Amerika Syarikat.
Nahas tersebut merupakan kes kematian pertama melibatkan kenderaan tanpa pemandu lantas memberi tamparan hebat kepada teknologi yang dijangka membawa perubahan kepada dunia pengangkutan, menurut Reuters.
Syarikat kereta sewa itu menggantung semua ujian kenderaan pandu sendiri yang dilancarkan di Amerika Utara menyusuli kemalangan berkenaan.
Sebelum ini, kenderaan tanpa pemandu dialu-alukan orang ramai kerana dijangka mengurangkan kes kemalangan jalan raya secara drastik, selain mencipta perniagaan berbilion dolar.
Namun, kemalangan Ahad lalu (18 Mac) itu menunjukkan bahawa masih ada halangan tertentu dalam menyediakan teknologi tersebut, khususnya apabila melibatkan situasi sebenar manusia.
Ia merupakan nahas kereta tanpa pemandu yang pertama yang membabitkan seorang pejalan kaki. Mangsa, Elaine Herzberg, 49 tahun, meninggal dunia ketika dirawat di hospital.
Kemalangan itu juga mencetuskan respons pantas daripada para penggubal undang-undang yang sebelum ini terus berdebat sama ada mahu meluluskan undang-undang yang mempercepatkan penggunaan kenderaan tanpa pemandu di negara tersebut.
“Kemalangan tragik ini adalah amaran untuk kita supaya perlu berhati-hati apabila menjalankan ujian dan melancarkan teknologi kenderaan pandu sendiri di jalan raya,” ujar Senator Demokrat Edward Markey dari Massachusetts.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.