Wanita Jepun dinobatkan manusia paling tua di dunia, berusia 116 tahun
Seorang wanita Jepun yang berusia 116 tahun dan masih lagi gemar belajar subjek matematik dinobatkan sebagai manusia tertua di dunia. Demikian menurut Rekod Dunia Guinness pada Sabtu (9 Mac).

Cik Kane Tanaka. (Gambar: AFP)
TOKYO: Seorang wanita Jepun yang berusia 116 tahun dan masih lagi gemar belajar subjek matematik dinobatkan sebagai manusia tertua di dunia. Demikian menurut Rekod Dunia Guinness pada Sabtu (9 Mac).
Cik Kane Tanaka dilahirkan pada 2 Januari 1903, tahun yang sama ketika Wright Brothers melancarkan penerbangan pesawat pertama dalam sejarah.
Pengumuman mengiktiraf Cik Tanaka sebagai manusia tertua di dunia yang masih hidup diraikan di rumah rawatan warga tua di barat Fukuoka, oleh datuk bandar Soichiro Takashima.
Menurut Cik Tanaka, detik paling gembira dalam hidupnya adalah: "Sekarang".
Beliau mendirikan rumah tangga dengan Hideo Tanaka pada 1922. Hasil perkahwinan itu, mereka mempunyai empat cahaya mata dan seorang anak angkat.
Warga emas ini selalu bangun pada pukul 6 pagi. Meski sudah tua, beliau menghabiskan waktu petangnya belajar matematik dan berlatih tulisan kaligrafi.
Menurut Rekod Dunia Guinness, manusia tertua yang disahkan sebelum ini - Jeanne Louise Calment, seorang warga Perancis - meninggal dunia pada 1997, ketika berusia 122 tahun.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.