Wanita ini nekad bawa suami buta naik motor untuk rawatan walau tiada lesen
Demi suami tercinta, seorang warga emas sanggup meredah perjalanan sejauh kira-kira tujuh kilometer dengan membawa suaminya yang buta setiap bulan ke klinik dengan motosikal, walaupun tidak mempunyai lesen.
(Gambar: BERNAMA)
BATU PAHAT: Demi suami tercinta, seorang warga emas sanggup meredah perjalanan sejauh kira-kira tujuh kilometer dengan membawa suaminya yang buta setiap bulan ke klinik dengan motosikal, walaupun tidak mempunyai lesen.
Fauziah Ali, 64 tahun, berkata dia terpaksa berbuat demikian kerana hanya itu sahaja caranya untuk membawa suaminya, Mahat Juraimi, 66 tahun, mendapatkan rawatan bulanan serta ubat.
Dia yang hilang pendapatan semenjak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik COVID-19 tahun lepas, mengakui terpaksa berjimat dalam semua perkara termasuklah soal makanan.
“Sebelum penularan COVID-19, saya ada melakukan beberapa kerja untuk perbelanjaan kami, termasuklah menjaga anak jiran, membersihkan rumah jiran dan bekerja di warung berhampiran, tetapi ketika ini semuanya tidak dapat dilakukan.
“Memang saya pernah terfikir risiko menunggang motosikal tanpa lesen, namun setiap kali membawa suami ke klinik kami hanya mampu berdoa agar selamat pergi dan pulang,” katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Taman Bukit Perdana, di Batu Pahat pada Ahad (28 Jan).
Menurut Cik Fauziah lagi, sekiranya dia mengambil teksi atau Grab, kos pengangkutan awam yang terpaksa dikeluarkan adalah antara RM10 hingga RM15 (S$3.30 hingga S$4.90) untuk perjalanan sehala, manakala dengan menunggang motosikal minyak yang diperlukan sekitar RM3 (S$1) sahaja (pergi balik).
Katanya, keadaan suaminya yang menghidap penyakit diabetes kronik itu, tidak boleh ditinggalkan dan menyebabkan dia tidak boleh bekerja selain perlu menjaga kakaknya, Kamariah Ali, 66 tahun.
“Hampir setahun kami tiada pendapatan tetap dan mengharapkan ihsan daripada kenalan untuk meneruskan hidup. Anak kami pula pendapatannya tidak seberapa dan hanya mula bekerja di Johor Bahru pada bulan lepas,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Biro Kebajikan Jawatankuasa Penyelaras Khas Dewan Undangan Negeri (JPKD) Dewan Undangan Negeri Penggaram Mohd Hamidi Mad Tap berkata, pihaknya akan merujuk masalah pasangan warga emas itu kepada agensi kebajikan termasuklah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), untuk mendapatkan bantuan yang sesuai.
-- BERNAMA
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.