Wanita ini ditemui maut selepas tersilap naik kereta yang disangkanya Uber
Seorang gadis berusia 21 tahun yang dilaporkan hilang pada Jumaat (29 Mac) ditemui maut selepas tersilap menaiki kereta yang dipercayainya adalah kereta sewa privet Uber yang ditempahnya, lapor CNN.
Samantha Josephson dan ayahnya, Seymour Josephson. (Gambar: Seymour Josephson/Facebook)
SOUTH CAROLINA: Seorang gadis berusia 21 tahun yang dilaporkan hilang pada Jumaat (29 Mac) ditemui maut selepas tersilap menaiki kereta yang dipercayainya adalah kereta sewa privet Uber yang ditempahnya, lapor CNN.
Samantha Josephson, seorang penuntut Universiti South Carolina, menempah khidmat kereta sewa privet Uber pada sekitar 2.00 pagi, 29 Mac selepas meluangkan masa bersama rakan-rakan sebiliknya pada malam itu di Columbia, South Carolina.
Semasa satu sidang media, Ketua Polis Columbia W.H. "Skip" Holbrook menyatakan bahawa Samantha tersilap menaiki kereta Chevy Impala berwarna hitam, yang dianggapnya adalah kereta sewa privet yang ditempahnya.
Namun, mayat mangsa ditemui oleh sekumpulan pemburu di sebuah ladang yang terletak sekitar 145 kilometer dari Columbia, menurut Encik Holbrook.
"Sejauh ini, apa yang kami tahu adalah beliau sebenarnya menempah khidmat kereta sewa privet Uber dan sedang menantikan kenderaan itu," kata Encik Holbrook sambil merujuk kepada rakaman CCTV.
"Kami percaya beliau tersilap menaiki kereta itu, dengan menganggap bahawa ia adalah kereta yang ditempahnya."
Encik Holbrook berkata Nathaniel David Rowland, 24 tahun, sudahpun diberkas atas tuduhan membunuh dan menculik berhubung kematian Josephson. Dia kini ditahan di sebuah penjara di Columbia. Menurut laporan CNN, masih belum jelas sama ada dia sudahpun mendapatkan khidmat peguam.
DARAH JOSEPHSON DITEMUI DALAM KERETA SUSPEK
Darah yang ditemui di tempat duduk penumpang dan but kereta adalah sama dengan darah Josephson, kata Encik Holbrook sambil menambah bahawa telefon bimbitnya pula ditemui di dalam kompartmen penumpang.
Para penyiasat juga menemui sebuah bekas yang mengandungi cecair luntur, tisu pembasmi kuman dan pembersih tingkap di dalam kenderaan itu, katanya lagi.
Encik Holbrook juga berkata bahawa kunci keselamatan kanak-kanak pada kereta itu juga diaktifkan, menjadikan pintu kereta itu sukar dibuka dari dalam.
Polis belum lagi mendedahkan punca kematian Josephson ataupun maklumat mengenai Rowland.
CNN juga menghubungi Uber pada Sabtu (30 Mac), namun syarikat itu enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut.
Tip-tip keselamatan Uber yang boleh didapati secara online menasihati para pelanggan supaya memeriksa plat lesen kenderaan serta gambar dan nama pemandu bagi memastikan ia adalah sama dengan maklumat yang disenaraikan dalam aplikasi tersebut sebelum menaiki sesebuah kenderaan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.