Wanita hamil terjatuh di atas laluan LRT
Seorang wanita yang hamil empat bulan tergelincir lalu terjatuh di atas landasan di stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Damai pagi tadi (19 Apr).

Seorang wanita hamil terjatuh dari landasan kereta api di Kuala Lumpur. (Gambar: BERNAMA/Twitter)
KUALA LUMPUR: Seorang wanita yang hamil empat bulan tergelincir lalu terjatuh di atas landasan di stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Damai pagi tadi (19 Apr).
Namun, sistem memberhentikan kereta api yang menghampiri platform sekiranya ia mengesan objek di atas landasan, berjaya menyelamatkannya.
Dalam insiden sekitar 7.48 pagi itu, wanita berusia 26 tahun tersebut sedang menunggu kereta api untuk ke tempat kerja sebelum tergelincir lalu terjatuh di landasan ketika kereta api menghampiri platform.
Menurut kenyataan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), polis bantuan Prasarana bersama operasi stesen bertindak mengarahkan semua penumpang untuk mengosongkan platform bagi menjalankan kerja-kerja menyelamatkan mangsa.
"Pasukan penyelamat mengambil masa kira-kira tujuh minit untuk menyelamatkan mangsa sebelum membawa wanita itu ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan lanjut," menurut kenyataan itu.
Ia turut menyatakan bahawa LRT Laluan Kelana Jaya pulih seperti sediakala pada jam 8.15 pagi setelah lewat hampir 25 minit.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd Khairani Mohamed berkata bahawa sistem “Platform Intrusion Emergency Stop”(PIES) berfungsi memberhentikan aliran elektrik pada sistem LRT sekiranya terdapat impak melebihi tujuh kilogram di landasan.
Menurutnya, PIES dipasang di semua platform di stesen LRT laluan Kelana Jaya manakala bagi stesen bawah tanah dan LRT Laluan Ampang serta Sri Petaling kerja-kerja pemasangan PIES sedang dijalankan dan dijangka siap hujung tahun ini.
“Kami amat bersyukur kerana sistem keselamatan yang terdapat pada kereta api dan stesen berfungsi dengan baik. Sistem PIES ini direka dan dipasang di kebanyakan sistem rel bandar di serata dunia bagi mengesan sebarang objek atau gangguan pada sistem landasan,” kata Encik Khairani.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.