Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Wanita hamil di Indonesia berdepan risiko kesihatan, bimbang dek korban jiwa COVID-19 meningkat

Sedang Indonesia bergelut untuk membendung gelombang kedua jangkitan COVID-19, jumlah kematian dalam kalangan ibu hamil disebabkan oleh virus itu semakin meningkat, kata para pakar.

Anggaran Waktu Membaca:

JAKARTA: Sedang Indonesia bergelut untuk membendung gelombang kedua jangkitan COVID-19, jumlah kematian dalam kalangan ibu hamil disebabkan oleh virus itu semakin meningkat, kata para pakar.

Ini menimbulkan lebih banyak risiko kesihatan serta kebimbangan bagi wanita hamil.

Menurut Persatuan Obstetrik dan Sakit Puan Indonesia (POGI), sekurang-kurangnya 536 wanita hamil menjadi korban disebabkan komplikasi koronavirus di Indonesia sejak pandemik bermula.

Jumlah itu adalah sekitar 18 peratus daripada kematian wanita hamil kesleuruhannya di Indonesia pada masa ini.

"Jelas terdapat peningkatan dalam jumlah kematian melibatkan ibu hamil, dan kami tahu bahawa varian Delta yang sedang merebak di Indonesia sangat berjangkit," kata Dr Ari Kusuma Januarto, ketua POGI.

"Dan kami juga tahu bahawa wanita hamil mudah terjejas."

Dr Januarto berkata antara Januari dengan Mei, mereka menguji sekitar 15,000 wanita hamil di Jakarta.

Dalam kalangan jumlah itu, 1,600 disahkan positif COVID-19.

Menurut Dr Januarto, satu daripada setiap sembilan wanita hamil yang dijangkiti COVID-19 mengalami simptom teruk.

Setakat Sabtu (14 Ogos), negara itu mencatat lebih 115,000 kematian dan lebih 3.8 juta kes jangkitan.

"SAYA BIMBANG DAN SEDIH"

Bagi sesetengah wanita hamil, perasaan bimbang dan tidak berdaya semakin bertambah sedang pandemik terus berlarutan di negara itu.

Jakartan Dita, yang hanya mahu dikenali menerusi nama timangannya, sedar tentang jumlah kematian melibatkan wanita hamil yang semakin meningkat.

Dita, 37 tahun, kini masuk kehamilan trimester kedua dan menyifatkan dirinya sebagai seseorang yang mengalami paranoia.

"Saya seringkali berasa bimbang dan sedih kerana ramai orang di sekeliling saya dijangkiti COVID-19 dan sudah meninggal dunia kerana virus itu.

"Saya juga marah kerana ramai orang masih bersikap jahil, mereka tidak percaya COVID-19 itu ada dan tidak mahu mengambil vaksin," katanya kepada Mediacorp.

Menurutnya, 11 orang dalam keluarganya dijangkiti COVID-19 dan dua sudah meninggal dunia. Ini menjadikannya begitu tertekan, kata Dita lagi.

Kesemua 11 anggota keluarganya itu diuji positif pada awal Julai, walaupun mereka tinggal di kawasan berlainan termasuk di Jakarta, Bekasi serta di Banyumas, Jawa Tengah yang merupakan kampung halaman ibunya.

Cik Dita juga berasa sangat sedih apabila mendapat tahu mereka jatuh sakit namun beliau tidak dapat melakukan apa-apa untuk membantu mereka.

Untuk melindungi dirinya, beliau duduk di rumah sebanyak mungkin dan meluangkan masa melakukan hobi.

Di daerah Grobogan dan Banyumas di Jawa Tengah, iaitu kampung halaman ibu Cik Dita, terdapat sekurang-kurangnya 85 kematian wanita hamil dilaporkan tahun ini. Jumlah itu dua kali ganda lebih tinggi berbanding 2020, menurut Project HOPE.

Hampir 70 peratus daripada kes itu meninggal dunia tahun ini kerana COVID-19, katanya.

Dr Januarto dari POGI juga berkongsi bahawa 40 peratus wanita hamil di Indonesia mengalami anemia iaitu keadaan di mana tubuh kekurangan sel darah merah.

Menurutnya lagi, 21 peratus ibu hamil itu mengalami masalah berat badan berlebihan sementara 15 peratus mengalami penyakit darah tinggi.

"Jadi jelas, ini akan menjejas kehamilan," menurutnya.

Seorang wanita hamil yang dijangkiti COVID-19 dan mengalami keradangan yang menjejas paru-parunya mungkin perlu melahirkan bayi belum cukup umur untuk menyelamatkan diri dan kandungannya, kata Dr Januarto.

Selain itu, ibu dan anak tersebut perlu menjalani rawatan di unit jagaan rapi (ICU). Namun kebanyakan ICU kini sudah dipenuhi pesakit.

USAHA VAKSINASI BAGI WANITA HAMIL

Justeru, bolehlah lebih banyakkes sedemikian dicegah?

Dr Januarto menggesa pemerintah agar menambah jumlah katil dan hospital khususnya bagi wanita hamil dan bayi.

Menurutnya, lebih baik juga untuk menunda rancangan menimang cahaya mata semasa pandemik.

Sebelum ini, wanita hamil di Indonesia tidak dibenarkan menjalani vaksinasi namun pada 2 Ogos, kementerian kesihatan meluluskan vaksinasi COVID-19 bagi wanita hamil dengan serta-merta.

Ia menasihatkan mereka supaya mendapatkan suntikan dos pertama semasa trimester kedua dan menggunakan vaksin berasaskan virus tidak diaktifkan seperti Sinovac serta vaksin-vaksin mRNA seperti Moderna dan Pfizer.

Syarat-syarat lain termasuk bayi dalam kandungan perlu seberat tidak kurang 42 gram dan berukuran 9 sentimeter, kata jurucakap pemerintah bagi COVID-19 Dr Reisa Broto Asmoro. 

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan